Demo Turun Anwar: Jangan Termakan ‘Janji Politik’ Bantuan Guaman PAS

Oleh NOR SITI HAZLINDA

MACHANG, 24 Julai 2025 – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa PAS bersedia memberi bantuan guaman kepada penjawat awam yang berdepan tindakan akibat penyertaan mereka dalam Himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan hujung minggu ini.

Menurut beliau, hak berhimpun dijamin oleh perlembagaan dan PAS akan mempertahan hak itu.

Namun, kenyataan Tuan Ibrahim itu menerima reaksi bercampur daripada masyarakat, khususnya dalam kalangan penjawat awam yang berasa terperangkap antara hak sivil dan tanggungjawab profesional mereka.

Seorang pemerhati politik yang enggan dinamakan berkata, janji bantuan guaman oleh PAS harus dinilai berdasarkan rekod prestasi lalu parti tersebut, terutama dalam isu-isu saman dan perundangan.

“Tak payahlah harap kepada janji sebegini, track record parti ini bab kes mahkamah dalam saman menyaman, tak menarik. Berapa juta ringgit tokoh parti mereka kena bayar kos mahkamah dan kalah saman. Siap buat kutipan ‘jihad’ nak bayar saman yang kalah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada PAS atau rakan-rakan gabungan mereka mampu mempertahankan kerjaya penjawat awam sekiranya tindakan diambil berdasarkan pelanggaran akujanji perkhidmatan awam, seperti sokongan terhadap kerajaan semasa.

“Kalau kes kalah sebab akujanji anda untuk ‘sokong government of the day’, adakah mereka akan tawarkan anda kerja semula di negeri SG4?” soalnya sinis.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan penjawat awam agar mempertimbangkan risiko peribadi sebelum menyertai perhimpunan partisan, sambil mengingatkan kembali nasihat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri supaya “letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan.”

Himpunan “Turun Anwar” dijangka menjadi manifestasi protes terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang ulang tahun kedua beliau memegang jawatan.

Penganjur menyasarkan kehadiran besar-besaran di ibu negara, sementara pihak berkuasa menggesa pematuhan penuh terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012.