Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa apabila peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menghalangnya daripada memberi ulasan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri berusia 100 tahun itu menyatakan rasa tidak puas hati ketika pemeriksaan balas dalam kes saman fitnah RM150 juta terhadap Perdana Menteri ke-10.
Kes berkenaan berkaitan ucapan Anwar dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani bertemakan “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” yang diadakan dua tahun lalu.
Mahathir menyifatkan peguam bela cuba menyekatnya daripada menjelaskan isu sebenar yang menjadi asas kepada saman tersebut.
Beliau berkata, soalan yang dikemukakan banyak berkisar kepada perkara peribadi dan tidak menyentuh tuduhan fitnah utama.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bersambung minggu depan bagi memberi ruang kepada pihak terlibat membuat persediaan lanjut.