Trump Kagum Profesionalisme PDRM, Mahu Temui Ketua Polis Negara – Anwar

Oleh ABDULLAH HAMID

CYBERJAYA, 6 Nov — Kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan Malaysia ketika mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memaklumkan, penghargaan itu disampaikan oleh Trump semasa lawatan rasminya ke Malaysia bersempena penganjuran sidang kemuncak berkenaan, di mana beliau turut melahirkan kekaguman terhadap keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan pemimpin-pemimpin dunia terjamin sepanjang acara berlangsung.

“Kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu bukan sahaja diiktiraf dari sudut penganjuran, tetapi turut dipuji atas aspek keselamatan yang dikendalikan dengan amat baik oleh pasukan kita.

“Presiden Trump secara peribadi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bagi menyampaikan ucapan terima kasih atas kecekapan dan profesionalisme anggota PDRM,” katanya.

Perdana Menteri menambah, kecekapan pasukan keselamatan negara, termasuk PDRM dan pasukan pengiring keselamatan antarabangsa, turut menarik perhatian pemimpin lain seperti Premier China, Li Qiang, yang hadir pada sidang kemuncak berkenaan.

“Saya masih ingat, Presiden Trump memohon kebenaran untuk berjumpa Ketua Polis Negara sendiri bagi menyatakan penghargaan terhadap tahap profesionalisme pasukan keselamatan kita yang amat membanggakan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini, hari ini.