Anak saudara Bella yang rupanya dijaga sejak kecil berkongsikan tiga pesanan daripada arwah yang membuatkannya menangis teresak-esak.
Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan, 10, memanggil ibu saudaranya dengan gelaran mesra ‘mami’.
Dia menceritakan kebaikan arwah ibu saudaranya, Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32.
“Mami kerap berpesan supaya tidak meninggalkan solat dan jangan nakal. Mami pesan dengar cakap ayah dan ibu.
“Mami sangat baik dengan saya sebab itu saya sedih bila mami dah tiada,” kata Daiyan Aimar, lapor Harian Metro.
Dia menangis teresak-esak ketika ditemui pada majlis pengebumian Bella di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat, petang 24 Januari lalu.
Anak kepada kakak arwah, Norhisham, 36, ini berkata, sepanjang kehilangan Bella, dia tidak pernah berhenti berdoa semoga ibu saudaranya itu ditemui dalam keadaan selamat.
“Setiap hari saya berdoa untuk mami. Mami yang membesarkan saya sejak kecil dan dia saya anggap macam ibu kandung.
“Saya dijaga dengan penuh kasih sayang.
“Saya tidak dapat menahan kesedihan bila diberitahu mami sudah tiada, saya doakan semoga dosa mami diampunkan,” katanya.
Bagaimana pula reaksi dua anak Bella yang masing-masing berumur 4 dan 2 tahun?
Eusof Abdul Fatah tidak mampu berkata-kata ketika melihat jasad ibunya kebumikan.
Dia bersama adiknya, Maream Isabel, 2, dibawa ke tanah perkuburan, kelihatan terpinga-pinga seolah-olah tidak dapat menerima hakikat ibu mereka sudah tiada.
Kes pembunuhan Bella yang merupakan ibu tunggal mengundang simpati orang ramai memandangkan arwah memiliki dua anak kandung yang masih tidak mengerti apa-apa lagi.
Pada 24 Januari lalu, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan membunuh Bella.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tertuduh adalah suspek utama pembunuhan itu selepas dipandu arah ke lokasi penemuan rangka Bella di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, petang 19 Januari lalu.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, 20 Januari lalu, sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak kepada Bella.
Baca:
Sajat disyaki kena kanser, ini reaksi mak nyah yang sekarang ada di Australia
Kerana sorang berhutang Ah Long, habis semua rumah jiran-jiran kena simbah cat, siap ugut bakar lagi
Suami rajin sidai baju atas BMW merah, luahan ‘syukur’ wanita ini dipertikai