Tiga kejadian sensitif babit agama dan keselamatan awam timbulkan kebimbangan

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Beberapa insiden berasingan yang berlaku kebelakangan ini dan menyentuh sensitiviti agama serta keselamatan awam menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Perkembangan tersebut turut mendapat perhatian serius daripada Kementerian Perpaduan Negara yang menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi atau unsur keganasan tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara kejadian yang mencetuskan perhatian ialah tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar tiga kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra.

Beliau turut merujuk kepada satu video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganut agama tersebut.

Menurut Aaron, situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila berlaku pula serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang mengundang persoalan berkaitan keselamatan individu serta ketenteraman awam.

“Kementerian Perpaduan Negara memandang serius tiga insiden yang berlaku kebelakangan ini kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semua pihak perlu mengambil pendekatan bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama atau menggugat keamanan masyarakat.