‘Tiada Kompromi Isu Hina al-Quran’ – Anwar

Oleh Admin 06

PUTRAJAYA, 2 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam isu penghinaan terhadap al-Quran, susulan insiden memijak kitab suci itu yang tular baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, khususnya Islam sebagai agama Persekutuan, tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi menggugat keharmonian negara.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan proses siasatan tanpa membuat sebarang spekulasi atau tindakan melulu.

“Ini negara hukum. Setiap tindakan mesti berasaskan undang-undang, bukan sentimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, semalam.

Anwar turut menolak dakwaan kononnya kerajaan bersikap berdiam diri atau bertolak ansur dalam kes melibatkan penghinaan terhadap Islam.

Tegasnya, tindakan telah pun diambil termasuk penahanan individu terlibat dan siasatan menyeluruh sedang berjalan, termasuk meneliti aspek kesihatan mental suspek.

“Ada pihak yang terlalu cepat membuat kesimpulan, seolah-olah kerajaan berlembut. Saya tidak akan tolak ansur sama sekali dalam soal ini. Ketegasan perlu, tetapi mesti berlandaskan undang-undang,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina Islam melalui tindakan memijak al-Quran yang dimuat naik di media sosial. Sehingga kini, sebanyak 28 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Ashari Abu Samah, memaklumkan tempoh reman lelaki berusia 21 tahun itu dilanjutkan sehingga Selasa ini atas arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan dilengkapkan sepenuhnya.