Tiada Keperluan Pinda Undang-Undang Anti-Lompat Parti, kata Azalina

Oleh NURAIMAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, ketika ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut beliau, kerajaan berpandangan bahawa Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan larangan wakil rakyat Dewan Rakyat melompat parti, masih relevan dan mampu mengekalkan keseimbangan antara kestabilan politik dan kebebasan berpersatuan.

“Peruntukan ini diwujudkan untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara tanpa menafikan hak asas rakyat dan ahli politik untuk berpersatuan, seperti dijamin oleh Perlembagaan.

“Sehubungan itu, Kerajaan MADANI buat masa ini tidak bercadang mengemukakan sebarang pindaan terhadap peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, jelas Azalina, kerajaan terbuka untuk meneliti dan membincangkan perkara tersebut dari semasa ke semasa bersama parti-parti kerajaan dan blok pembangkang sekiranya terdapat keperluan di masa hadapan.

Azalina menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN–Beluran) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan untuk memperkukuh undang-undang berkaitan insiden lompat parti melibatkan Ahli Parlimen.