ORANG kata untuk menilai seseorang itu lihatlah kepada kereta apa yang digunakan.
Mungkin ada benarnya juga ungkapan itu kerana kenderaan menjadi lambang status seseorang itu dalam masyarakat zaman sekarang.
Jadi jika anda seorang eksekutif muda yang sedang mencari kenderaan sama ada untuk dijadikan pengangkutan harian
ulang alik ke tempat kerja atau untuk kegunaan keluarga, jujurnya Proton X50 pilihan yang perlu dipertimbangkan.
Sejak dilancarkan pada 2020, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B nasional ini sudah melebihi 110,000 unit
dan dieksport ke 11 pasaran pandu belah kanan (RHD) antaranya ke Brunei, Afrika Selatan, Nepal, Mauritius dan Bangladesh.
Proton X50 berharga sekitar RM79,000 hingga RM103,000 adalah pesaing kepada Honda HR-V, Toyota CHR, Mitsubishi ASX, Renault Captur, dan Mazda CX-3.
Dipacu oleh enjin 1.5 liter TGDI pengecas turbo dengan kuasa 177PS dan tork 255Nm menerusi kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan menjadikan X50 ‘cukup’ dan bagi sesetengah orang ia memadai untuk memberi keseronokan untuk meluncur di atas jalan raya.
Jika anda sebuah keluarga empat orang, ruang ditawarkan X50 amat sesuai dengan ruang kabin yang mencukupi untuk lima orang dewasa dan walaupun ruang penyimpanan barang seluas 330 liter sahaja, ia kenderaan kompak yang cukup selesa.
Dengan berat kira-kira 1.3 tan, ia memberi pengalaman pemanduan baik berbanding kereta lain dalam segmen pada harga sama. Malah, X50 memberi penggunaan bahan api agak menjimatkan bagi pemanduan santai.
Baru-baru ini tular kejadian Proton X50 Flagship berjaya mengelak kemalangan itu berlaku ketika 1 Syawal lalu di Lebuhraya PLUS menghala ke utara dengan bantuan ciri keselamatan ADAS (Advanced Driving Assistance System).
Susulan insiden itu, ramai memuji sistem ADAS pada Proton X50 Flagship. Itu antara ciri keselamatan yang disediakan.
Lain-lain ialah menyediakan enam beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), Kamera 360 Definisi Tinggi, fungsi Auto Park Assist serta paparan pandangan 3D persekitaran untuk mengurangkan titik buta bagi penukaran lorong.
Proton Holdings Bhd (PROTON) menyasarkan untuk menjual sehingga 2,500 unit X50 2024 yang dipertingkatkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula daripada RM86,300 yang dilancarkan baru-baru ini.
Bersama-sama dengan pakej faedah komprehensif yang direka untuk meningkatkan pengalaman pemilikan, Proton X50
2024 dilengkapi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data lima tahun dengan satu gigabait (GB) sebulan dan enam kali perkhidmatan buruh secara percuma.
Ia juga datang dengan elemen keselesaan lain seperti sistem pempropesan baharu 33 peratus lebih pantas menerusi ‘dwi-core’ 4GB RAM dan storan lebih besar 64GB untuk sistem ‘head unit’ infotainmen yang kini ditawarkan dengan saiz 10.3 inci.
Baca :‘Tak perlu jadi peguam, hanya perlu pakai otak’ Uyaina hanya beri kesedaran