Teresa Kok Buat Laporan Polis, Aduan MCMC Isu Artikel Palsu Berkaitan Sijil Halal

Oleh ADINDA

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hari ini membuat laporan polis susulan penularan satu artikel palsu yang mendakwa beliau menyokong pemberian sijil halal kepada daging babi.

Ahli Parlimen Seputeh itu menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan bersifat fitnah, sambil menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dipaparkan dalam artikel tersebut.

Menurut Kok, penyebaran artikel palsu itu telah menjejaskan reputasinya serta menggambarkan beliau sebagai individu yang menghasut isu perkauman dan keagamaan, sekali gus berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

“Artikel palsu ini mencemarkan nama baik saya dan meletakkan saya seolah-olah mencetuskan ketegangan kaum serta agama. Saya menggesa pihak polis menyiasat semua akaun media sosial yang menyebarkan kandungan berunsur hasutan ini dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Teresa Kok bersama pegawainya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Petaling dan turut mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyenaraikan 18 akaun Facebook serta satu akaun Thread yang didakwa terlibat menyebarkan dakwaan berkenaan, selain menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pemilik akaun terbabit.

Artikel palsu itu menggunakan tajuk yang direka menyerupai laporan sebuah akhbar tempatan, Berita Harian, dengan tajuk: “Sijil halal untuk daging babi adalah wajar – Teresa Kok”.

Menurut Kok, beliau hanya menyedari kewujudan artikel tersebut semalam selepas dimaklumkan oleh rakannya melalui aplikasi WhatsApp, ketika ia sedang tular di media sosial.