Sebuah restoran yang telah beroperasi lebih daripada setengah abad di kawasan ini dikenakan kompaun kerana menggunakan logo halal yang tidak sah.
Serbuan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari semalam oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
(KPDN) Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, pemeriksaan mendapati restoran tersebut pernah memohon sijil halal pada tahun 2021 namun tidak diluluskan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempamerkan logo halal tanpa sijil yang sah, yang merupakan satu
kesalahan di bawah Perintah 8(a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), dua unit banting pelekat yang memaparkan logo halal, dan dua unit papan tanda kedai. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM150.
Azman juga menjelaskan bahawa jika didapati bersalah, pertubuhan atau perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta, manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM10 juta.
Bagi individu atau bukan pertubuhan, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
BACA: Presiden Perancis muat naik kenyataan rasmi dalam bahasa melayu ketika pertemuan dengan PMX