KUALA LUMPUR, 29 Okt — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menegur tindakan segelintir pihak yang hanya memetik sebahagian kandungan perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tanpa meneliti keseluruhannya sehingga menimbulkan salah tafsir kononnya kerajaan menggadaikan kedaulatan negara.
Beliau merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa perjanjian berkenaan mengehadkan kebebasan Malaysia dalam membuat keputusan sendiri, termasuk memaksa negara mematuhi peraturan yang ditentukan oleh AS dalam aspek perdagangan, pelaburan dan perundangan.
Dalam satu video penjelasan di laman Facebook, Tengku Zafrul menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas kerana klausa yang dijadikan hujah oleh Azmin — Klausa 5.1 — telah dipetik secara tidak menyeluruh.
“Kalau hendak baca perjanjian, bacalah dengan lengkap, bukan sekerat. Baru-baru ini Azmin Ali mendakwa perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia–AS menggadaikan kedaulatan negara. Klausa yang disebut beliau ialah Klausa 5.1, tetapi hanya sebahagian ayat dipetik bagi menyokong dakwaan itu,” katanya.
Menurut beliau, bahagian awal klausa berkenaan memang menyebut:
“Upon receiving such notification from the United States, Malaysia shall adopt or maintain a measure with equivalent restrictive effect as the measure adopted by the United States or agree to a timeline for implementation that is acceptable to both Parties…”
Namun, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa bahagian akhir klausa tersebut tidak boleh diabaikan kerana ia menjelaskan konteks sebenar perjanjian itu:
“…to address a shared economic or national security concern.”
Beliau menegaskan bahawa frasa “shared economic or national security concern” adalah kunci penting yang menunjukkan sebarang tindakan atau sekatan hanya akan diambil sekiranya isu berkenaan memberi kesan bersama kepada keselamatan ekonomi atau keselamatan negara bagi kedua-dua pihak.
“Maksudnya, sekatan hanya boleh dilaksanakan apabila ia memberi kesan kepada keselamatan dan ekonomi kedua-dua negara, bukan satu pihak sahaja. Jika sesuatu isu hanya melibatkan kepentingan AS tanpa memberi impak kepada Malaysia, maka Malaysia tidak tertakluk kepada tindakan tersebut,” katanya.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan sentiasa memastikan setiap perjanjian antarabangsa yang dimeterai berpaksikan kepada kepentingan dan kedaulatan negara, serta melalui penelitian teliti oleh pelbagai agensi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Tiada sebab untuk rakyat bimbang atau terpengaruh dengan tafsiran separuh jalan. Setiap klausa diteliti dengan cermat bagi memastikan kepentingan negara tidak terjejas,” ujarnya.