Anak muda ini rupanya sanggup menolak beberapa tawaran menyambung pengajian ke universiti tahun lalu demi memberi tumpuan untuk mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Wan Muhammad Haikal Wan Hussin berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas Sukma.
Namun, ajal sudah menjemput. Dia meninggal dunia pada usianya 21 tahun selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, di Seremban, 3 Mac lalu.
Arwah dilapor rebah dan tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
Anak keempat daripada lima beradik itu disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi, 4 Mac lalu ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada 5.30 petang.
“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
“Tapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurutnya, Allahyarham adalah anak keempat dari lima beradik dan berada di Seremban untuk Pra Sukma sejak 1 Mac lalu.
Jelasnya, kedua-dua ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban berkata, mangsa sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan diberikan rawatan diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit serta merta, terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.
“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus dibawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan dalam masa yang sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital,” tambahnya lagi.
Baca:
Kena penjara sebulan selepas rembat telefon bimbit dan dompet, tak sangka ini rayuan si wanita muda
Ini ibu bapa perlu tahu garis panduan pakaian sekolah sesi akan datang ketika cuaca panas melampau