Realtime website trackingweb stats

Task Force Khas OP BPT: KPKM Laksana Pemeriksaan Kilang dan Pemborong Beras di Seluruh Negara

Oleh NURAIMAN

Mesyuarat penyelarasan Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) memutuskan semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

Difahamkan, mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat bersetuju untuk menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelaksanaan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh Chan.

OP BPT melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

KPKM berkata, OP BPT bermula hari ini melibatkan pemeriksaan di 93 buah kilang, 130 pemborong dan peruncit serta turut meliputi pemeriksaan di sempadan negara dan pelabuhan utama.