Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin tampil menasihatkan pentingnya penguasaan bahasa Arab memandangkan bahasa syurga itu adalah bahasa wajib bagi ilmu-ilmu Islam.
Menurutnya, keupayaan memahami bahasa Arab dengan baik merupakan satu kelebihan untuk kita mendapat ilmu daripada ucapan dan pengajaran para ulama terbilang di dunia terutama di zaman internet ini.
“Banyak ceramah dan pengajian mereka di media sosial yang sangat bermanfaat.
“Dengan mendengar pelbagai komentar ulama di seluruh dunia, kita akan lebih terbuka dan tidak cepat menghina, mencerca atau memperbodohkan pandangan orang lain.
“Ada ruangan untuk kita timbang perbezaan pendapat,” katanya yang lebih dikenali sebagai Dr Maza dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.
Penjelasan beliau itu terkandung dalam kenyataan yang menafikan dakwaan sebuah laman sosial parodi, ‘Harakatdaily HD’ kononnya beliau mengkritik pendakwah pro Pas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berhubung isu penguasaan bahasa Arab.
Dr Maza menegaskan bahawa memahami bahasa Arab itu rukun penting untuk membolehkan kita membaca rujukan-rujukan ilmu Islam ini.
“Mazhab al-Syafii mazhab yang paling tegas dalam isu penguasaan bahasa Arab ini.
“Jika tidak faham bahasa Arab maka sukar memahami istibat hukum hakam agama yang dirumuskan oleh para ulama,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempersendakan seseorang yang tidak berupaya menguasai bahasa Arab.
“Janganlah kita persendakan dia kerana keupayaan yang ada pada kita juga merupakan kurniaan ALLAH semata-mata.
“Boleh mengkritik di sudut ilmiah tapi jangan mencerca.
“Dengan kita tidak selalu menghina dan mencerca orang lain dengan ejekan dan perkataan yang buruk, mudah-mudahan ALLAH juga tidak menzahirkan kelemahan kita.
“Segala yang berlaku ada hikmahnya.
“Setiap cercaan orang kepada kita, kita mengadu sahaja kepada ALLAH,” tulis Dr Maza lagi.
Mengulas dakwaan Ustaz Azhar Idrus tidak mampu menguasai bahasa Arab, Dr Maza berkata, beliau sama sekali tidak pernah membuat kenyataan mengkritik UIA berhubung isu tersebut.
Terdahulu, tular di aplikasi X apabila seorang pemilik akaun memuat naik satu klip video ketika sesi ceramah UAI.
Menerusi rakaman itu, seorang lelaki bertanya kepada UAI dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan oleh individu lain yang tidak kelihatan dalam video tersebut.
Penterjemah berkenaan memberitahu kepada UAI bahawa lelaki itu ingin tahu mengenai amalan UAI sehingga mampu mengumpulkan begitu ramai orang dalam majlis ilmu tersebut.
Dalam jawapannya, UAI menggunakan bahasa Melayu, bahawa ia berlaku kerana keberkatan ibu bapa peserta-peserta ceramah yang hadir.
Jawapan tersebut kemudiannya diterjemahkan semula dalam bahasa Arab.
Ekoran rakaman video itu, sebahagian pengguna X mempertikaikan kewibawaan UAI sebagai seorang ahli agama kerana mendakwa tidak mampu menguasai bahasa Arab.
Hal ini memandangkan, UAI kerap membodohkan individu lain dalam kuliahnya yang pekat menggunakan dialek Terengganu sehingga menjadi ciri ikonik penceramah pro Pas berkenaan.
“Tak padan dengan bodohkan orang, bercakap Arab tak lulus. Ingatkan kemas sangat. Po dahh!” komen seorang ustaz dari Terengganu di media sosialnya.
Rata-rata warganet berpendapat tidak menjadi masalah jika tidak pandai bahasa Arab cuma belum layak disebut ulamak.
Perbandingannya seperti seorang guru bahasa Inggeris yang tidak tahu ‘speaking’ memang tidak layak mengajar.
Baca:
Singkir lemak ‘degil’ di perut dengan hanya lakukan senaman ini
“Okay mummy naikkan …” – Untung Aaisyah apabila Che Ta bermurah hati bagi ini