Realtime website trackingweb stats

Tak tahu lagi siapa nak jaga dua budak ini selepas ibu ditikam, inilah bahayanya marah dan dadah

Oleh FATIN AQILAH

Nasib dua budak di Arau, Perlis ini, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun belum tahu lagi bagaimana selepas ibu mereka maut ditikam bapa sendiri.

Siapa akan menjaga dua anak lelaki kepada jururawat malang itu hanya akan diputuskan selepas dua keluarga tersebut berbincang.

Abu Bakar Senapi, 64, iaitu bapa mangsa memberitahu Awani semalam, mereka belum lagi memikirkan mengenai hak penjagaan kedua-dua cucunya itu.

“Kami akan pergi berbincang dengan keluarga besan saya nanti dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kita belum capai apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Jenazah Munirah Abu Bakar, 31, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib Kampung Paya Tengah, Beseri, dekat Padang Besar petang semalam.

Pada 30 September lalu, seorang pesara tentera dilapor menyerah diri kira-kira pukul 10 pagi di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Tindakannya yang mengejutkan itu selepas dia menikam maut isterinya dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau.

Gagal mengawal marah, lelaki itu tergamak menikam isterinya menggunakan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri ketika Munirah mahu keluar bekerja.

Arwah merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.

Menurut polis, suspek bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah lantaran cemburu kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

Suspek kemudian sempat lagi menghantar kedua-dua anaknya itu ke rumah pengasuh, sebelum menyerah diri di IPK Perlis.

Ekoran itu, polis melakukan siasatan dan menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah yang ditutup dengan selimut tebal di bilik tidur utama di rumah tersebut.

Polis mendapati terdapat satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sepanjang kira-kira dua sentimeter.

Majistret Mahkamah Kangar, Siti Norhasliza Md Ali kemudiannya mengeluarkan perintah reman bermula 1 hingga 7 Oktober ini.

Suspek mempunyai kes jenayah lampau berkaitan dadah dan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca:

Dah buang gedik, peminat mahu pula Kak Lina Pom Pom kembali, imej santun Elly M tetap menghiburkan

Tak perlu selenggara mesin pun, pemimpin ini perjelas mengapa pemansuhan caj DuitNow QR wajar

Pelik peniaga gerai ini, tak mahu tauge pula kena caj, pelanggan anggap tak masuk akal