Calon Presiden Republikan, Donald Trump, berjaya selamat daripada cubaan pembunuhan di Florida, menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) hari ini.
Syerif Palm Beach County, Ric Bradshaw, melaporkan bahawa suspek melarikan diri dengan sebuah kereta hitam.
Seorang saksi kini sedang membantu polis untuk mengenal pasti dan mengesan kenderaan tersebut.
“Kami telah menahan seorang suspek utama dalam serangan ini,” kata Bradshaw.
Ketika kejadian, Trump sedang bermain golf di padang golfnya di West Palm Beach, Florida, tidak jauh dari kediamannya di Mar-a-Lago, ketika penembak tersebut dikesan oleh pihak berkuasa.
“Ejen Perkhidmatan Rahsia yang bertugas menjaga keselamatan Trump semasa beliau bermain golf telah terlihat muncung senapang dan segera bertindak balas. Beberapa tembakan dilepaskan,” tambahnya.
Bradshaw juga menyatakan bahawa suspek mungkin berada pada jarak antara 275 hingga 455 meter, tetapi dengan menggunakan senapang dan teropong, jarak itu bukanlah terlalu jauh.
Menurut laporan New York Times dan Fox News, suspek telah dikenal pasti sebagai Ryan Wesley Routh.
Sheriff William Snyder dari Martin County memberitahu CNN bahawa suspek yang ditahan oleh pihak berkuasa agak tenang dan tidak menunjukkan banyak emosi.
Ini merupakan serangan kedua terhadap Trump, hanya beberapa bulan selepas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menjadi sasaran seorang lelaki bersenjata yang mencederakan telinganya semasa berucap pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania.
Sementara itu, ejen Perkhidmatan Rahsia AS, Rafael Barros, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang ejen telah melepaskan tembakan ke arah lelaki bersenjata yang berada berhampiran sempadan padang golf Trump.
“Kami tidak pasti pada masa ini sama ada individu itu sempat melepaskan tembakan ke arah ejen kami. FBI berkata ia sedang menyiasat apa yang nampaknya cubaan membunuh Trump,” kata Barros.
Senapang yang mirip AK-47 bersama teropong ditemui bersama kamera video GoPro, tambahnya.
Jurucakap kempen Trump, Steven Cheung, dalam satu kenyataan berkata, calon presiden Republikan berusia 78 tahun itu selamat selepas kejadian tersebut berlaku di kawasan kediamannya.
BACA: Kurangkan risiko kemalangan, ini 3 cara selamat ‘sound’ kereta lupa pasang lampu