Tak pernah ke luar negara, ‘akak’ panggil orang bangun sahur ini teruja kena serbu di KLCC. Pempengaruh media sosial berasal dari Indonesia, Mimi Peri akui teruja menjejakkan kaki ke Malaysia buat pertama kali.
Kata Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani, 35, seumur hidupnya, belum pernah dia ke luar negara sehinggalah ditaja oleh Datuk Fizz Fairuz sebagai pelakon yang membintangi filem Mat Tudung Begins.
“Sejujurnya saya tidak pernah ke luar negara atau ke mana-mana selain kampung saya.
“Jadi apabila dibawa ke Malaysia saya teruja sekali. Sebelum ini saya hanya melihat KLCC di televisyen. Kali ini alhamdulillah saya sudah datang melihat sendiri menara itu dan bergambar.
“Saya berterima kasih kepada Fizz kerana menawarkan untuk berlakon dalam Mat Tudung Begins, sekali gus memberi peluang buat saya berkunjung ke Malaysia,” katanya.
Mimi yang popular dengan video memanggil orang bangun sahur itu ditemui ketika majlis tayangan perdana Filem Mat Tudung Begins di TGV Cinema, One Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.
Bercerita lanjut mengenai kunjungannya di KLCC baru-baru ini, Mimi memberitahu ramai yang mengenalinya serta datang mahu bergambar.
“Saya senang sekali apabila ramai peminat di sini mahu mengambil gambar bersama saya.
“Terkejut juga kerana ramai yang mengenali saya ke mana sahaja saya pergi. Ini pertama kali saya ke luar negara, jadi tak sangka dengan penerimaan orang terhadap saya,” ujarnya.
Selain Mimi Peri, Mat Tudung Begins turut dibintangi Fizz Fairuz, Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar Saisi dan Fazlina Datuk Ahmad Daud.
Filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam bermula 3 Ogos ini.