DuitNow QR hanya merupakan satu paparan diletakkan di bahagian dinding atau kaunter dan tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan mesin seperti kad kredit.
Itu antara hujah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam menuntut pemansuhan secara kekal caj transaksi untuk pembayaran melalui aplikasi DuitNow QR.
Menurutnya, pemansuhan caj itu juga bertujuan menyokong dasar digitalisasi kerajaan apatah lagi kos operasi yang ditanggung pihak bank juga berada pada kadar minimum.
Beliau menegaskan bahawa dasar tersebut perlu disokong agar pembayaran tanpa tunai dapat diperluas dan menguntungkan semua pihak iaitu pengguna, peniaga, bank serta kerajaan.
Sejak penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui DuitNow QR, ujarnya, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu mencetak mata wang dan siling baharu yang membawa kepada penjimatan signifikan buat BNM.
Menurutnya, bank-bank juga menerima manfaat daripada penurunan kos bagi menyediakan mesin deposit tunai, kos ATM untuk pengeluaran wang tunai bagi pengguna, kos keselamatan dan penyelenggaraan wang tunai.
“BNM merupakan pemegang saham terbesar dalam PayNet bersama 11 buah bank tempatan yang lain. Bank tempatan yang keuntungannya meningkat dengan ketara setiap tahun tidak perlu bergantung kepada caj MDR untuk menambah keuntungan bank masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, Ka Siong memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar terus membawa berita baik ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober ini.
“Harapan rakyat adalah perkara ini dimansuhkan secara berkekalan,” ulasnya lagi menerusi hantaran di Facebook beliau.
Sebelum ini, syarikat pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) pada 28 September menjelaskan mengenai pelaksanaan caj transaksi melibatkan peniaga kecil berkuatkuasa 1 November 2023.
Baca:
Pelik peniaga gerai ini, tak mahu tauge pula kena caj, pelanggan anggap tak masuk akal
Kereta wira diubah jadi kereta Batman, kos cecah RM100,000, siap pintu hidraulik dan autopilot
Terpijak tahi cicak batal wuduk? Ini penjelasan terperinci Dr. Zulkifli bekas Mufti Wilayah