Kita sering melihat banyak tompokan hitam berdebu pada siling dan dinding rumah atau pejabat.
Tahukah anda bahawa ia sebenarnya adalah spora halus yang dibebaskan oleh kulat, juga dikenali sebagai mold?
Kulat ini biasanya muncul akibat persekitaran yang lembab, seperti kebocoran paip air atau sistem pengudaraan yang tidak berfungsi dengan baik.
Namun, penting untuk diingat bahawa tompokan ini bukan sekadar kulat; ia boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan.
Sekiranya spora kulat ini disedut masuk ke dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan iritasi dan radang pada saluran pernafasan, yang boleh mengakibatkan sesak nafas, selsema, dan batuk.
Terdapat empat cara mudah yang boleh dilakukan untuk menghapuskan kulat daripada terus ‘berleluasa’ di dalam rumah dan membahayakan kesihatan kita.
1. Klorin
Klorin atau bahan kimia peluntur untuk memutihkan pakaian boleh digunakan untuk membuang kotoran kulat.
Anda hanya perlu menyapu permukaan kulat menggunakan kain yang dibasahi klorin.
Kemudian, bilas permukaan tersebut selepas dibiarkan selama 15 minit.
2. Hidrogen peroksida
Hidrogen peroksida ialah sejenis cecair jernih yang lebih likat berbanding air.
Masukkan cecair tersebut ke dalam botol semburan sebelum digunakan.
Sembur pada bahagian berkulat, ia akan mengambil masa selama 15 minit untuk berlakunya tindak balas.
Lap dan bersihkan permukaan tersebut dengan membilasnya menggunakan air bersih.
3. Cuka
Tuang cuka masakan ke dalam botol semburan sebelum digunakan.
Sembur pada bahagian kulat dan biarkan selama satu jam.
Kemudian, gosok bahagian berkulat dengan menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu keluaran sintetik, nilon.
4. Soda bikarbonat atau garam
Campurkan sedikit campuran soda bikarbonat atau garam ke dalam bekas yang diisi air dalam kuantiti sedikit.
Kacau sehingga bahan tersebut menjadi cecair berbentuk pes.
Sapu pada bahagian yang ditumbuhi kulat dan biarkan selama 30 minit.
Kemudian, bilas kawasan tersebut menggunakan air yang bersih.
BACA: Ini 4 posisi aircond tak sesuai dalam rumah, jadi punca bil melambung!