Realtime website trackingweb stats

Tak patut mengungkit, wanita 10 anak ini marahkan ibu Shila Amzah, nasihatnya memang ‘rare’ tapi ada benarnya

Oleh ABDULLAH HAMID

Seorang ibu yang mempunyai 10 anak terkesan dengan dan marah dengan sikap emak penyanyi, Shila Amzah.

Berkongsikan pengalamannya mengenai perang mulut dengan dengan anak sulungnya yang berusia 20 tahun baru-baru ini, beliau mengingatkan ibu bapa tidak harus mengungkit.

Peguam itu berpendapat ibu bapa perlu sedar bahawa mereka sendiri bukanlah sempurna serba-serbi dan tidak sepatutnya mahukan anak-anak pula sempurna seratus peratus.

Menurutnya, anak-anak tidak minta dilahirkan ke dunia dan sebagai ibu bapa laksanakan tanggungjawab sebaiknya semasa membesarkan mereka.

Ikuti pendapat Asiah Abd Jalil yang mendapat perhatian orang ramai dengan setakat ini menerima hampir 9,000 tanda suka dan kira-kira 12,000 perkongsian:

Hari ini ulang tahun kelahiran anak sulung saya yang ke-20. Bermakna sudah genaplah 20 tahun saya bergelar seorang ibu.

Minggu lepas saya bergaduh dengan anak sulung saya. Dia hantar 12 mesej WhatsApp panjang lebar, meluahkan perasaan dia.

Macam-macam yang dia tulis, mengungkit kisah-kisah yang pernah terjadi dalam keluarga saya.

Saya rasa sangat sedih… Ya, saya akui saya bukanlah ibu yang sempurna.

Petang itu juga saya start enjin kereta dan pergi merayau-rayau di pinggir bandar Kuantan. Saya mencari rumah untuk disewa.

Saya nak anak sulung saya keluar dari rumah. Duduklah di rumah sewa. Belajarlah hidup berdikari sendiri, tanpa gangguan Ibu, Ayah dan adik-adik.

Uruskanlah rumah sebagaimana cara yang dia suka. Saya akan tanggung hidup dia sampailah dia habis ijazah dan bekerja.

Petang itu, saya jumpa beberapa rumah sewa dan sempat tinjau di dalamnya. Keadaan rumah sewa sangat tidak memuaskan hati saya.

Bilik yang sempit, tandas yang teruk, keadaan sekeliling yang kotor, jiran atau housemate yang tidak sesuai, kawasan yang kurang selamat, dan macam-macam kekurangan lain.

Saya rasa sangat sedih… Takkan saya nak biar anak saya hidup di tempat sebegitu?

Biasanya bila saya sedih, saya akan tidur. Bangun dari tidur, mood saya jadi lebih baik, fikiran saya jadi lebih waras, jiwa saya jadi lebih tenang.

Bangun pagi keesokannya, saya bermuhasabah. Takkan kerana sedikit pertengkaran, saya tergamak nak buang anak sendiri?

Anak yang saya begitu ternanti-nanti kehadirannya.

Anak yang saya kandung selama 9 bulan dan saya lahirkan dengan susah payah.

Anak yang saya besarkan depan mata saya dengan penuh kasih sayang.

Anak yang begitu baik dan sangat mudah dijaga semenjak bayi sehinggalah kini.

Anak yang selama ini beri saya kebahagiaan, kegembiraan dan kebanggaan.

Lalu, saya beristighfar banyak-banyak. Saya ampunkan dosa semua anak-anak saya. Saya redha dan restu akan hidup semua anak-anak saya di dunia dan di akhirat.

Unconditionally. Tanpa syarat.

Hari ini bila saya baca luahan hati ibu Shila Amzah, jiwa keibuan saya rasa seperti dirobek-robek. Bukan kerana saya marahkan Shila Amzah. Tapi kerana saya marahkan ibunya.

Saya paling benci ibu bapa yang mengungkit-ungkit jasanya kepada anak.

Saya benci ibu bapa yang mudah berkecil hati dengan anak.

Saya benci ibu bapa yang berharap balasan buruk ke atas anak.

Saya benci ibu bapa yang merasakan diri mereka sentiasa betul kerana mereka ialah ibu bapa.

Saya benci ibu bapa yang mengharapkan anak sahaja mesti minta maaf kepada ibu bapa kerana ibu bapa tak pernah bersalah.

Saya selalu ingatkan diri saya.

Anak-anak tak minta dilahirkan ke dunia. Ibu dan ayahlah yang memilih untuk melahirkan mereka. Jadi, jangan nak ungkit tentang penat lelah mengandung dan sakit payah melahirkan. You sign up for that.

Anak-anak tak boleh pilih siapa ibu dan ayah mereka. Apabila dilahirkan, mereka kena terima sahaja siapa ibu dan siapa ayah mereka.

Jadi, jangan expect anak-anak kita mesti sempurna serba-serbi, sedangkan kita sendiri bukanlah sempurna serba-serbi.

Satu hari nanti anak-anak akan dewasa dan ada kehidupan mereka sendiri. Sama ada mereka kenang dan balas jasa ibu bapa atau tidak, itu tidak penting.

Yang penting, kita sebagai ibu bapa dah laksanakan tanggungjawab kita sebaiknya semasa membesarkan mereka.

Baca:

‘Melancong’ di airport saja hangus RM7,000, pengalaman wanita ini tidaklah seindah drama Korea

Terpaksa mohon cop halal Indonesia, Malaysia rupanya belum ada lagi logo halal untuk makanan haiwan

Kisah mudah faham mengapa Israel serang Palestin, 50 tahun tunggu nak buat serangan mengejut