Susulan Pengunduran Muhyiddin, Dr Sahruddin Lepas Jawatan Pengerusi PN Johor

Oleh Ahmad Fahmi

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu memaklumkan keputusan berkenaan menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya.

Ketika dihubungi, Dr Sahruddin menjelaskan peletakan jawatan itu dibuat susulan tindakan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terlebih dahulu mengumumkan pengundurannya.

“Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.

“Hilang jawatan Menteri Besar pun saya, apatah lagi jawatan Pengerusi PN,” tulisnya secara bersahaja.

Mengulas lanjut, beliau menafikan sebarang dakwaan wujud pergolakan dalaman dalam PN Johor yang mendorong keputusan tersebut.

“PN Johor berada dalam keadaan baik dan stabil. Tiada sebarang krisis atau masalah. Kami baru sahaja bermesyuarat dua minggu lalu dan semuanya berjalan lancar.

“Peletakan jawatan ini langsung tidak berkait dengan situasi di Johor,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu diambil atas prinsip menghormati struktur kepimpinan pusat memandangkan pelantikannya sebagai Pengerusi PN Johor dibuat oleh Muhyiddin.

“Apabila pimpinan pusat meletakkan jawatan, maka saya juga memilih untuk berundur. Saya menyerahkan kepada pimpinan Muafakat Nasional untuk melantik Pengerusi PN Johor yang baharu.

“Keputusan ini hanya berkaitan kepimpinan pusat. Di Parlimen Pagoh dan BERSATU Johor, tiada sebarang perubahan,” katanya.

Untuk rekod, Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor pada Jun 2022.