Muhaimin Sulam
Ke maqam wali
Saya tidak terdidik dengan disipin sejarah tetapi saya tetap mengambil perhatian dari aspek pembuktian dan logik-logik bagi menyaring antara unsur khabar-khabar angin, metos dan dongeng dengan fakta dalam mengkaji tokoh-tokoh dan tempat bersejarah. Bahkan melalui proses pengkajian ini, secara tidak langsung bagaimana proses pembinaan pemikiran dan kebudayaan setempat terbentuk. Bagaimanakah tokoh-tokoh yang hidup sekarang menjadi idola, sembahan dan pujaan manusia?
Suatu pagi, saya bersama-sama kawan-kawan di Melaka berlabuh di Pulau Besar dengan menyewa bot nelayan di kampung pinggir pantai Umbai. Ramai pergi ke situ untuk menikmati kesedapan ikan bakar yang segar.
Mengambil masa lebih kurang 15 minit, bot yang kami sewa sampai ke Pulau Besar yang dikatakan banyak misteri tersembunyi. Dari ulama sufi yang menjadi wali, mahaguru silat, ilmu kebal dan segala macam mistik Melayu tersimpan di sini.
Tidak jauh daripada tempat kami mendarat, kami berjalan menuju ke maqam Sultan Al Ariffin. Baginda bukan raja atau sultan yang memerintah negeri atau kerajaan. Gelaran ‘sultan’ kepada nama Sultan Ariffin adalah merujuk ‘kekuasaan dari segi ilmu agama’ dan istilah ‘Ariffin’ bermakna ‘yang mengetahui lebih mendalam’.
Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail ibn Saiyid Abdul Qadir ibn Saiyid Abdul Jabbar (r.a), adalah keturunan ke-18 Rasullullah S.A.W. Beliau dilahirkan pada 17 Rabiulawal tahun 867H bersamaan 1463M di Baghdad. Bapanya bernama As-Saiyid As-Syeikh Abdul Qadir serta ibunya bernama Sayyidah Fatimah. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, seorang Wali Allah yang sangat mashyur di seluruh dunia. Beliau juga dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.
Sultan Al-Ariffin mempunyai ilmu yang tinggi dalam Islam. Menurut riwayat, sewaktu beliau ke Madinah menziarahi Makam Nabi, beliau telah mendengar satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ajaran Islam ke Kepulauan Jawa. Beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 16 orang sahabat antaranya guru beliau Syeikh Yusuf As-Siddiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim (r.a). Syeikh Yusuf As-Sidiq merupakan seorang Syeikh sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a menyebarkan agama Islam di Kepulauan Melayu pada tahun 1495. Merupakan guru kepada Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail r.a. Di Pulau Besar ilmunya telah berkembang luas dan beliau mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh Kepulauan Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa dan Kelantan. Antara murid beliau yang sangat masyhur ialah Raden Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) serta Raden Paku (Sunan Giri).
Sultan Al-Ariffin telah meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H ketika berusia 58 tahun dan dikebumikan di Pulau Besar. Selain dari beliau, di situ juga termakam antara 41 hingga 43 orang pengikut-pengikut beliau yang lain. Makam sultan Al-Ariffin menjadi tumpuan utama pengunjung di Pulau Besar bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengembangkan Islam di seluruh kepulauan Melayu.
Berdasar latar belakang sejarah Sultan Arifin, maqam tersebut sewajarnya menjadi tumpuan orang datang. Maqam anak muridnya Sunan Bonang dan Sunan Giri di Gresik diziarahi orang hampir 24 jam, tetapi maqam Sultan Ariffin tidak sedemikian. Kompleks maqam mereka terpelihara meski sudah ratusan tahun didirikan. Orang datang ke maqam bagai datang berbondong-bondong. Mereka berzikir beramai-ramai di kompleks maqam itu. Mungkin ini kerana berkaitan amalan ziarah kubur berserta amalan yang dianggap mistik masih ada.
Amalan membayar nazar di tempat-tempat yang dianggap keramat telah dibenteras oleh pihak berkuasa tempatan. Menurut sumber lisan tempatan, dahulu Pulau Besar meriah kerana ada kenduri dan makan percuma yang disediakan oleh pembayar nazar. Kedatangan ramai pengunjung telah sedikit sebanyak mewujudkan kegiatan ekonomi dan memberi faedah kepada penduduk tempatan.
Kebanyakannya mereka datang ke Pulau Besar untuk berdoa di maqam Sheikh Ariffin yang dianggap wali. Berdoa di maqam wali dikatakan lebih cepat dimakbulkan doanya. Amalan inilah dianggap sesat. Memohon atau berdoa terus kepada Allah SWT Maha Kuasa. Namun kini, ramai orang minta banyak perkara dengan pihak berkuasa, dengan orang politik yang ada takhta. Seolah-olah mereka menjadi tuhan. Itu dibenarkan pula?
Pantai dan pemandangan Pulau Besar sangat cantik dan asli. Lebih cantik daripada Pulau Langkawi, Pulau Pangkor atau Pulau Sembilan. Entah mengapa Pulau Besar tidak dapat dibangunkan hingga kini. Masih ada sumpah yang belum selesaikah?
DR. MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.