Sultan Pahang naik darah bila dengan banyak kes pencerobohan. Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan agar isu pencerobohan tanah di negeri ini tidak lagi dipandang ringan. Baginda secara tegas menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap individu atau pihak yang sewenang-wenangnya menceroboh tanah negeri Pahang.
Titah tegas itu disuarakan ketika Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, semalam dan turut dikongsi melalui laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.
“Jangan biar orang ceroboh tanah Pahang ini sesuka hati. Saya pun naik darah bila dengar banyak kes pencerobohan. Sudah tiba masanya kita ambil tindakan tegas terhadap mereka,” titah baginda dengan penuh semangat.
Rakyat Diminta Jadi ‘Mata & Telinga’ Sultan
Dalam usaha menjaga bumi Pahang, baginda turut mengajak rakyat untuk bersama membantu menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan haram yang melibatkan tanah negeri.
“Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin,” titah baginda lagi, menyeru kerjasama seluruh rakyat jelata.
Pencerobohan Durian Raub Jadi Isu Hangat
Titah ini muncul di tengah kontroversi berhubung isu pencerobohan tanah di Raub, yang mana kebun durian Musang King telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.
Pada 8 April lalu, lebih 200 pokok durian ditebang dalam satu operasi besar-besaran di Sungai Klau, Raub – menyebabkan sebilangan pekebun melahirkan rasa tidak puas hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.
Namun, kerajaan negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan itu sah, dan mereka tidak melanggar sebarang perintah mahkamah.
Operasi Besar-besaran Hingga Mei
Operasi berkenaan, yang dijalankan bersama polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), difokuskan kepada semua kawasan yang diteroka secara haram di sekitar Raub. Ia dijadual berterusan sehingga 3 Mei ini.
Walaupun tegas, Sultan Pahang menekankan bahawa setiap isu dan kekurangan perlu ditangani secara berhemah dan harmoni, tanpa menjejaskan keamanan negeri.
Titah Tegas yang Wajar Dihayati
Titah Sultan ini jelas menunjukkan kesungguhan baginda menjaga kelestarian bumi Pahang, sekali gus menghantar mesej jelas kepada mana-mana pihak: jangan main-main dengan undang-undang tanah negeri ini. Rakyat pula diseru agar menjadi benteng pertama dalam mempertahankan tanah warisan mereka sendiri.
Tanah Pahang bukan milik sesiapa secara mutlak — ia adalah amanah untuk dijaga bersama, bukan untuk diceroboh sesuka hati.
BACA JUGA :
Istiadat perkahwinan putera kedua Sultan Pahang raih perhatian netizen
‘Tindakan tegas bakal diambil’ Istana Pahang tampil jawab dakwaan Tengku Hassanal bakal berkahwin
Menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, akhirnya Polis buka mulut kes Muhyiddin