Sudan Hargai Ketegasan Malaysia Pertahan Kemanusiaan dan Kecam Kekejaman RSF

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR — Kerajaan Sudan menzahirkan penghargaan tinggi kepada Malaysia atas pendirian tegas dan konsisten dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan serta mengecam kekejaman kumpulan bersenjata Rapid Support Forces (RSF) di negara itu.

Duta Besar Republik Sudan ke Malaysia, H.E Hassan Abdelsalam Omer, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mencerminkan sikap Malaysia yang berprinsip dan berpaksikan keadilan sejagat.

“Kami amat menghargai ketegasan Malaysia dalam mengecam serangan kejam oleh kumpulan RSF serta gesaan agar pihak terbabit dipertanggungjawabkan atas jenayah terhadap rakyat Sudan,” katanya pada sidang media di Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, Sudan menaruh keyakinan tinggi terhadap peranan Malaysia sebagai negara Islam berpengaruh yang bebas daripada kepentingan tersembunyi, menjadikannya rakan penting dalam usaha memulihkan keamanan serta kestabilan di Sudan.

Menjelaskan lanjut, Hassan berkata, konflik bersenjata di negaranya bukan sekadar perbalahan dalaman, sebaliknya melibatkan campur tangan kuasa luar yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kedaulatan Sudan.

Beliau mendedahkan bahawa beberapa laporan penyiasatan antarabangsa menunjukkan wujudnya bantuan teknikal dan ketenteraan dari luar, termasuk dari Colombia dan beberapa negara lain.

“Terdapat bukti dokumentasi mengenai penglibatan pihak luar, antaranya Colombia, yang memberi bantuan teknikal kepada RSF. Malah, Presiden Colombia sendiri dilaporkan telah memohon maaf kepada rakyat Sudan,” jelasnya.

Beliau turut menyebut laporan media antarabangsa seperti The Guardian dan Le Monde yang mendedahkan kaitan senjata dan peluru berpandu dengan nombor siri dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) di lokasi pertempuran.

“Rakaman video yang diperoleh juga menunjukkan penglibatan langsung beberapa entiti luar dalam membekalkan senjata kepada militia RSF,” katanya lagi.

Duta Besar itu menegaskan bahawa peperangan yang dilancarkan oleh RSF kini dikategorikan sebagai antara tragedi pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam sejarah moden, dengan banyak bukti menunjukkan berlakunya pembersihan etnik terhadap orang awam tidak bersenjata.

“Di mana sahaja militia ini bergerak, mereka meninggalkan jejak pembunuhan, kemusnahan dan penderitaan,” ujarnya dengan nada tegas.

Dalam pada itu, Hassan turut mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atas kenyataan mengecam kekejaman RSF di Al-Fashir dan seluruh Sudan.

Beliau menyeru agar negara-negara Islam lain memperkukuh tindakan diplomatik bersama OIC untuk menamatkan keganasan dan mengembalikan keamanan yang berkekalan di Sudan.

“Kami berharap Malaysia akan terus memainkan peranan aktif sebagai suara keadilan dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa,” katanya mengakhiri sidang media.