KUALA LUMPUR: Pelaksanaan skim subsidi petrol bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak 30 September lalu membolehkan kerajaan merekodkan penjimatan mencecah RM800 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, jumlah penjimatan itu diperoleh hasil pendekatan baharu kerajaan dalam menyasarkan subsidi bahan api agar hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia, sekali gus menamatkan ketirisan besar yang sebelum ini melibatkan jutaan warga asing serta kegiatan penyeludupan minyak ke luar negara.
Anwar menjelaskan, sebelum ini lebih 3.5 juta bukan warganegara dikenal pasti turut menikmati subsidi petrol, selain berlakunya aktiviti penyeludupan puluhan ribu liter minyak yang merugikan negara.
Beliau berkata, dana yang berjaya dijimatkan tidak disimpan semata-mata, sebaliknya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain digunakan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan, membaik pulih jalan raya serta memperkukuh infrastruktur asas negara.
“Semua penjimatan ini dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan langsung dan penambahbaikan perkhidmatan awam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha menyasarkan subsidi minyak telah lama dibincangkan sejak lebih dua dekad lalu oleh kerajaan terdahulu, namun tiada pentadbiran yang berani melaksanakannya disebabkan kekangan politik dan ketidaktentuan dasar.
“Kerajaan MADANI mengambil keputusan berani untuk melaksanakannya demi kepentingan jangka panjang negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Di bawah pelaksanaan BUDI95, semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu sah layak membeli petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter tanpa subsidi.