Realtime website trackingweb stats

SST naik bukan alasan, peniaga bazar usah ‘cekik darah’ sebab penguat kuasa KPDN akan berkeliaran!

Oleh ABDULLAH HAMID

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang naik sebanyak lapan peratus bukan alasan untuk peniaga Bazar Ramadan bersikap ‘cekik darah.

Hal ini kerana penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan ‘berkeliaran’ di bazar-bazar Ramadan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Tuminah Kadi berkata, kekuatan penguat kuasa KPDN di negeri itu akan turut ditingkatkan di bazar-bazar Ramadan.

Menurutnya, tinjauan harian harga akan dibuat termasuklah makanan berasaskan gula seperti air balang dan kuih-muih yang sebelum ini mengalami kenaikan susulan isu bekalan gula yang didakwa sukar didapatkan oleh para peniaga.

“Saya mahu ingatkan para peniaga di bazar Ramadan untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan SST sebagai alasan menaikkan harga barangan dijual.

“Kita akan tempatkan lebih ramai penguat kuasa KPDN di bazar Ramadan seluruh Melaka, jadi mana-mana pihak yang dikesan menjual pada harga tidak munasabah akan terus dikenakan tindakan,” katanya, dipetik Harian Metro.

Tuminah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, selain penguatkuasaan di bazar Ramadan, tinjauan harga barangan juga akan dilakukan di pasar raya dan kedai runcit.

“Pemantauan ini memang kita telah laksanakan, namun sempena Ramadan nanti kekerapan itu akan ditingkatkan lagi.

“Penguat kuasa kita akan menjalankan tugas mereka dengan berpakaian preman bagi memastikan peniaga yang melakukan kesalahan dapat dicekup,” kata Tuminah lagi.

Baca:

Rangup & cair di mulut, resipi biskut bangkit jadi pilihan ramai di pagi raya

Pemaju hartanah swasta terbesar China bergelut masalah kewangan, ini nasib menimpa Forest City

Nasi goreng cili padi memang dapat ‘selamatkan’ lebihan nasi putih, ikut suka hati nak pedas macam mana