SPRM Pulih RM8 Bilion Aset Hasil Rasuah dan Ketirisan – Anwar

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya memulihkan aset bernilai kira-kira RM8 bilion daripada jumlah keseluruhan RM15.5 bilion yang disita hasil kegiatan rasuah, ketirisan dan penyeludupan sejak tahun 2023.

Menurut beliau, aset yang diperoleh semula itu merangkumi tunai, hartanah, saham syarikat dan bangunan, dan jumlah tersebut telah dikembalikan kepada Kumpulan Wang Disatukan di bawah seliaan Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, kejayaan itu hasil pelaksanaan operasi bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah pasukan petugas khas yang diberi mandat penuh untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan hasil negara.

“Bayangkan tahap ketirisan yang berlaku. Kita sedang berjuang secara terbuka, walaupun ada yang cuba mengganggu dari belakang. Namun kita tetap teruskan usaha ini tanpa gentar,” katanya ketika menjawab soalan Isam Mohd Isa (BN–Tampin) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab pertanyaan berhubung jumlah keseluruhan aset yang telah dirampas serta langkah kerajaan mengurangkan ketirisan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa selain SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut memainkan peranan penting dalam operasi bersepadu berkenaan.

Beliau berkata, PDRM telah menyita aset bernilai hampir RM4 bilion, manakala JKDM merampas kira-kira RM2.5 bilion aset. Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut mengutip RM1 bilion dalam bentuk penalti.

“Pasukan petugas pelbagai agensi ini bekerja keras. Yang penting ialah memahami mengapa ketirisan sebesar ini dibiarkan berlaku begitu lama.

“Perbezaannya sekarang ialah kerajaan memberi kuasa penuh kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak dengan berani, tegas dan tanpa kompromi,” tegas beliau.

Anwar turut memuji komitmen semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam usaha membanteras rasuah dan penyeludupan, serta memaklumkan bahawa lebih banyak proses pemulihan aset masih sedang dijalankan.

Beliau menambah, kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai langkah keselamatan baharu bagi menutup ruang ketirisan, termasuk penggunaan sistem teknologi digital, kompleks saringan berpusat, kamera litar tertutup (CCTV), kamera badan serta mesin pengimbas di lokasi strategik.

“Kita akan terus meneliti dan memulihkan dana yang terlibat dalam skandal 1MDB, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan tadbir urus baik,” ujar Anwar.