Sotong kurita hidup dalam kerongkong berjaya dikeluarkan. Seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami kesukaran untuk menelan mengejutkan sekumpulan doktor apabila mendapati hampir keseluruhan sotong kurita tersekat pada kerongkongnya.
Lapor Daily Mail, ketika kejadian, lelaki berusia 55 tahun itu sedang menjamu hidangan hidupan laut berkenaan hidup.
Ketika berada di hospital, pesakit itu memberitahu dia mula muntah sejurus selepas makan sotong kurita berkenaan.
Pakar perubatan di Hospital Tan Tock Seng di Singapura segera melakukan imbasan pada bahagian esofagus pesakit.
Beberapa gambar dirakam menunjukkan sotong kurita lengkap dengan penyedutnya, tersekat lima sentimeter (cm) dari saluran gastroesophageal yang menghubungkan bahagian esofagus dan perut pesakit.
Pasukan doktor tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan imbasan tomografi dikenali sebagai oesophagogastroduodenoscopy pada pesakit berkenaan.
“Cubaan awal prosedur untuk menolak atau mengeluarkan sotong kurita yang tersekat itu tidak berjaya.
“Akhirnya, mereka terpaksa menggerakkan endoskop secara berhati-hati melepasi sotong itu untuk ke bahagian perut dan kemudian membengkok ke belakang.
“Doktor kemudian menggunakan forsep untuk memegang kepala sotong untuk mengeluarkannya,” jelas laporan.
Pesakit itu pulih segera selepas menjalani prosedur itu dan dibenarkan pulang ke rumah dua hari kemudian.