SKMM rampas lebih 10,000 peralatan komunikasi tidak diperakui bernilai RM1 juta

Oleh SHAZLIN AZIZ

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merampas sebanyak 10,112 unit peralatan komunikasi yang disyaki tidak diperakui dengan nilai anggaran RM1 juta dalam satu operasi penguatkuasaan di Klang dan Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi dikenali sebagai Op Optik itu dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Pemeriksaan yang berlangsung selama kira-kira 19 jam bermula jam 12 tengah hari itu melibatkan sebuah syarikat yang dipercayai menjalankan aktiviti penjualan peralatan komunikasi tanpa kelulusan serta gagal mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan oleh suruhanjaya berkenaan.

Menurut SKMM, antara peralatan yang dirampas termasuk kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar, selain beberapa peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan peranti penghala WiFi.

Hasil siasatan awal turut mendapati aktiviti pemasaran serta penjualan peralatan berkenaan dilakukan secara meluas melalui platform e-dagang dan media sosial.

Dalam operasi itu, SKMM telah mengambil keterangan awal daripada 40 individu, manakala sembilan notis kehadiran dikeluarkan kepada beberapa pihak termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung serta pencipta kandungan untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya.

SKMM menegaskan bahawa penjualan dan penggunaan peralatan komunikasi yang tidak diperakui boleh mendatangkan risiko serius kepada keselamatan pengguna, termasuk gangguan terhadap rangkaian perkhidmatan, penurunan kualiti sambungan serta ancaman kepada kestabilan dan integriti pasaran tempatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut SKMM, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui serta memastikan perlindungan kepentingan pengguna terus terjamin.