SKMM dapat injunksi Erinford sekat saluran ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ di Telegram

Oleh AHMAD ISMAIL

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperoleh Injunksi Erinford daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang penyiaran kandungan berunsur fitnah dan memudaratkan di platform Telegram, termasuk melalui saluran ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’.

Menurut SKMM, permohonan injunksi itu difailkan sebagai sebahagian daripada tindakan sivil terhadap Telegram sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori suruhanjaya itu di Mahkamah Rayuan.

“Melalui keputusan ini, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan memudaratkan seperti dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan SKMM, termasuk sebarang kandungan lain yang mempunyai kesan atau sifat serupa,” kata SKMM dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan penutupan sepenuhnya saluran ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’, termasuk mana-mana saluran lain yang menggunakan pendekatan atau kandungan seumpama, bagi mengekang penyebaran bahan palsu, mengelirukan dan menghasut yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi negara.

SKMM menegaskan bahawa keputusan mahkamah ini adalah langkah penting dalam memastikan ekosistem digital Malaysia kekal selamat, bertanggungjawab dan sejajar dengan kepentingan awam.

Mahkamah turut menyatakan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dengan keseimbangan keadilan memihak kepada SKMM memandangkan kemudaratan terhadap Telegram dianggap minimum berbanding risiko kerosakan terhadap institusi negara dan ketenteraman awam jika kandungan berbahaya terus disebarkan.

Dalam penghakiman itu juga, mahkamah menegaskan bahawa penyedia platform antarabangsa seperti Telegram perlu lebih peka terhadap konteks sosial, budaya dan perlembagaan Malaysia, serta menghormati undang-undang tempatan dalam mengurus kandungan di platform mereka.