PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil ketua pengarang akhbar China Press bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran yang didakwa mengandungi terjemahan tidak tepat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beliau telah mengarahkan kementeriannya supaya meneliti isu berkenaan secara menyeluruh, selain menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada SKMM.
Menurut beliau, langkah memanggil ketua pengarang media terbabit bertujuan mendapatkan penjelasan terperinci sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“Kita memberi ruang kepada SKMM untuk menjalankan siasatan secara profesional dan kita akan menunggu hasil penuh siasatan tersebut,” katanya seperti dipetik Kosmo!.
Isu itu timbul selepas China Press memuat naik laporan di Facebook mengenai titah Seri Paduka Baginda dengan tajuk awal yang mencetuskan kekeliruan, sebelum ia dipinda kepada versi lain yang didakwa lebih tepat dengan maksud sebenar titah tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menyeru orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau membuat kesimpulan awal, khususnya berhubung isu yang melibatkan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan.
Beliau menegaskan siasatan berkenaan perkara itu wajar diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai bidang kuasa di bawah undang-undang sedia ada.
Fahmi turut menjelaskan bahawa satu video tular berkaitan isu berkenaan bukan diterbitkan oleh organisasi media, sebaliknya dimuat naik oleh individu awam dengan penyampaian yang mengelirukan, termasuk penggunaan istilah yang tidak selari dengan soalan sebenar yang dikemukakan wartawan.
Sehubungan itu, beliau berkata mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan berunsur provokasi juga perlu disiasat secara adil bagi mengelakkan ketegangan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.