Siasatan Kes Rasuah ADUN Sabah Masih Aktif, Belum Ditutup – PM Anwar

Oleh SHAZLIN AZIZ

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan berhubung video tular yang didakwa membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam aktiviti rasuah masih diteruskan dan tidak pernah ditutup.

Anwar berkata beliau sendiri telah menonton rakaman berkenaan dan berpandangan bahawa kandungannya mempunyai asas kukuh untuk disiasat secara menyeluruh.

“Saya telah melihat sendiri video itu. Berdasarkan hujah dan kandungannya, ia memang wajar disiasat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Ini kes jenayah, jadi tiada had masa. Kita kena sabar. Mengapa tiga individu dituduh? Kerana kes mereka mempunyai bukti yang lebih kuat… tetapi yang lain tidak pernah ditutup,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung status siasatan terbabit termasuk persoalan mengapa ada individu yang dikaitkan dalam video itu kini bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Anwar menegaskan beliau tidak boleh mengarahkan pendakwaan berdasarkan video semata-mata tanpa proses undang-undang yang lengkap dan bukti yang mencukupi.

“Kadang-kadang kenyataan saya diputar belit. Mereka kata saya beri alasan, tetapi hakikatnya proses siasatan mesti mengikut undang-undang,” katanya.

Mengulas tuduhan kononnya kerajaan melindungi pihak tertentu, Anwar menolak dakwaan tersebut dan menegaskan semua individu perlu berdepan proses undang-undang jika bukti mencukupi.

“Dua individu yang telah didakwa itu sendiri adalah daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi tidak timbul isu melindungi sesiapa.

“Tugas saya ialah memastikan tiada pengecualian, tetapi bukti mestilah kuat.

“Adakah akan ada pertuduhan susulan? Itu saya tidak tahu. Apa yang pasti, maklumat yang saya terima menunjukkan kes ini masih hidup dan belum ditutup,” katanya.