Realtime website trackingweb stats

‘Siapa hantar lampin berkulat ini?’ Khairul Aming haramkan derma barang tak elok

Oleh AHMAD ISMAIL

Pempengaruh terkenal dan usahawan berjaya, Khairul Aming, memberikan teguran tegas

kepada pihak yang menyumbang bantuan kepada mangsa banjir.

Teguran tersebut disampaikan menerusi sesi siaran langsung yang dilakukan bersama beberapa sukarelawan di Kelantan baru-baru ini.

Dalam rakaman video yang tular di TikTok, seorang sukarelawan memaklumkan bahawa terdapat lampin bayi yang sudah berkulat telah diberikan kepada mangsa banjir.

“Allah, siapa yang hantar lampin berkulat ini?” soal Khairul dengan nada kecewa.

'Siapa hantar lampin berkulat ini?' Khairul Aming haramkan derma barang tak elok

Beliau menegaskan, “Baiklah, satu perkara yang saya nak pesan ialah jangan jadikan tempat pengumpulan barang sumbangan ini sebagai tempat pelupusan barang.

Aku memang haramkan benda itu. Jadi, jangan bagi lampin berkulat, makanan yang dah tamat tempoh, baju yang berlubang, atau barang-barang yang tak elok.”

Berikan Bantuan Terbaik

Khairul Aming juga menjelaskan bahawa meskipun beliau memahami situasi darurat yang dihadapi mangsa banjir, setiap bantuan yang diberikan haruslah dalam keadaan baik. Ini bagi memastikan mangsa dapat menjalani kehidupan sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan lebih selesa.

“Kita faham mereka berada dalam keadaan darurat, tapi kita kena cuba berikan yang terbaik dahulu. Selagi mana boleh, kalau betul-betul dah tak ada barang baru kita akan guna. Tapi sekarang ini, selagi boleh, tolong berikan barang yang elok dan terbaik,” tambahnya lagi.

Tindakan Khairul Aming yang tegas dalam memeriksa barang-barang sumbangan sebelum diberikan kepada mangsa banjir mendapat pujian daripada warganet.

Ramai yang bersetuju dengan pendekatannya untuk memastikan bantuan yang diterima mangsa berada dalam keadaan yang memadai dan bermanfaat.

BACA: Tukang masak kongsi 4 tip elak minyak meletup masa goreng ikan