Shamsul Iskandar mohon kes rasuah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Oleh ARIF ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini memfailkan permohonan untuk memindahkan kes rasuah yang dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh pihak pembelaan dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen hari ini.

Peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan beberapa isu perundangan berkaitan pertuduhan terhadap anak guamnya dibangkitkan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, pihaknya telah memaklumkan mahkamah dan pendakwaan mengenai hasrat untuk memfailkan permohonan berkenaan selepas meneliti butiran pertuduhan yang dikemukakan.

Dalam perkembangan sama, Amer Hamzah berkata, pihak pendakwaan sedang menyediakan dan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

Katanya, pihaknya berharap dokumen berkenaan dapat diserahkan dengan segera, sama ada secara keseluruhan atau berperingkat, bagi membolehkan penelitian dibuat terhadap bahan keterangan yang akan digunakan terhadap Shamsul Iskandar.

Beliau turut mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah memohon supaya pertuduhan yang difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibicarakan secara serentak.

Sementara itu, Hakim Suzana Hussin menetapkan 11 Mac 2026 sebagai tarikh sebutan kes seterusnya.

Untuk rekod, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah pada 4 Disember lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM170,000 berkaitan bantuan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam sehari selepas itu atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM62,924 di sebuah institusi perbankan di Kajang antara November 2023 hingga September 2024.