Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Shah Alam melaporkan penangkapan lebih 15 ekor ular sawa
Di dalam saluran air longkang berhampiran sebuah kedai makan di Shah Alam, malam tadi.
Operasi yang melibatkan enam pegawai ini dilancarkan setelah pihak Bomba menerima panggilan daripada orang awam.
“Sampai di lokasi, setelah membuat pemeriksaan, didapati benar terdapat ular sawa di dalam saluran air longkang,” menurut laporan tersebut.
Tiada mangsa yang terlibat atau tercedera dalam penemuan tersebut.
Laporan Bomba yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi Bomba dan Penyelamat Shah Alam itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, yang rata-rata merasa geli melihat ‘sekumpulan’ ular sawa yang berada di dalam saluran terbabit.
“Tudia. Sekali datang, berlambak,” ujar seorang netizen.
“Aduh, geli,” kata seorang lagi.
“Mak ai, seram. Dah macam dalam filem,” kata seorang lagi.
“Mesti ada mama dia tu. Mama tengah cari makan, balik-balik tengok anak tak ada, kena culik,” seloroh seorang netizen.
“Mesti mak dia dah buat laporan polis hari ini,” tambah seorang lagi netizen.
Melihat kepada corak kulit, ular sawa ini dikenali sebagai ular sawa batik atau nama saintifiknya Malayopython reticulatus. Ular ini boleh membesar melebihi 10 meter panjang, menjadikannya spesies ular terpanjang di dunia.
Haiwan ini boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran dan terus hidup di kawasan berpenduduk dengan memakan tikus dan kucing. Ular sawa batik juga mahir berenang, sebab itulah ia sering dijumpai di saluran air.