Seorang ibu berkongsikan rasa gembira selepas anaknya mahu juga memakai baju Melayu selepas bertahun-tahun Hari Raya tidak mahu berbuat demikian.
Mungkin bagi sebahagian besar ibu bapa hairan anak mereka elok saja dan tiada masalah pakai baju raya.
Namun, bagi ibu yang memiliki anak menghidap autisme, perkara tersebut merupakan hal yang besar dan penting buat mereka.
Zarinah Zainal Abidin menerusi perkongsian di Facebook, memberitahu anaknya, Darius sudah tidak ‘mengamuk’ lagi untuk pakai baju Melayu.
Anak syurga itu boleh mula pakai baju Melayu sejak masuk Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) Taman Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan.
Ikuti perkongsian Zarinah Zainal Abidin mengenai gelagat anak lelakinya menjelang Aidilfitri ini:
Ini Darius. Hari ini PPKI ada buat rakaman takbir raya 2024. Melihat dia nak berbaju Melayu tu satu kepuasan tau.
Dia mula nak pakai sejak masuk PPKI Taman Tuanku Jaafar. Sebelum itu, memang tak mahu pakai.
Setiap tahun bila raya mesti akan ada drama air mata dan teriakan tidak puas hati, tantrum dan dia akan mula flapping sebab stres.
Pagi raya pakai baju tidur… Ya Allah… (dia ada masalah sensori). Teringat dulu bila dia lari dari kedai gunting sebab tak suka disentuh kepalanya untuk gunting rambut.
Kini, hanya ada satu kedai saja dia nak. Walaupun agak mahal tapi demi keselesaannya kami tidak berkira.
Dia juga tak suka jeans. Jika nak suruh dia pakai Denim kena beli yang jenis lembut.
Setelah bertahun terapi akhirnya dia boleh berbaju Melayu. Nampak kecil je benda tu tapi bagi kami ibu bapa ini satu perkara besar.
Tapi hingga kini dia tidak suka difotokan. Video ini dirakam tanpa dia sedar.
Sebab itu juga aku selalu berkasut sukan dan berseluar. Yang ada anak begini saja faham kenapa.
2024… tahun ketiga dia di PPKI. Moga dia boleh menerima pembelajaran sebaiknya.
Baca:
Ramai yang cuba baju di bazar tapi beli di online, peniaga kecil-kecilan ini kongsi luahan hati
Kejar 10 malam terakhir Ramadan! Pesanan ustaz ini buat ramai terkedu