Realtime website trackingweb stats

Selepas lebih 50 laporan polis, MB ‘cukup inci’ bakal didakwa di mahkamah hari ini

Oleh ADINDA

Selepas lebih 50 laporan polis, MB ‘cukup inci’ bakal didakwa di mahkamah hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang celupar menggelar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai tidak ‘cukup inci’ akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Selayang hari ini.

Lapor BH hasil carian menerusi laman e-filing mahkamah, pemimpin Pas berkenaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dijangka menghadapi sekurang-kurangnya dua pertuduhan selepas lebih 50 laporan polis dibuat beberapa pihak terhadapnya.

Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah dipercayai berdepan tuduhan berkaitan kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dalam ucapan biadabnya di Selayang pada 11 Julai lalu, selamba menyentuh isu perkenan Sultan Selangor dalam hal berkaitan pelantikan Menteri Besar di negeri itu.

Pendakwaan terhadap Sanusi akan dibuat secara berasingan di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Sanusi yang April lalu diperintah Mahkamah Rayuan Putrajaya supaya membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Wira Mahfuz Omar, berhubung saman fitnah, dijangka akan menghadapi pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam ucapan yang tular, Sanusi membandingkan urusan pelantikannya sebagai Menteri Besar dengan Amirudin Shari yang dilantik sebagai Menteri Besar oleh Sultan Selangor.

Sekurang-kurangnya 57 laporan polis dibuat beberapa pihak terhadapnya susulan ucapan terbabit, menyebabkan Sanusi disiasat berhubung ucapan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Susulan kejadian itu, pada Sabtu 15 Julai lalu, Sanusi mengutuskan sepucuk warkah memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Sharafuddin Idris Shah.

Pada jam 2 pagi hari sama, dia memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman.

Dalam kenyataan susulan, dia mendakwa ucapannya pada majlis itu, sengaja diputar belit oleh musuh politik bagi menimbulkan salah faham.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan terhadap Menteri Besar Kedah tidak dihentikan, walaupun sudah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, turut menegaskan bahawa permohonan maaf bukan satu pembelaan dari segi undang-undang.

Azalina berkata, walaupun Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan bersuara kepada setiap warga Malaysia, namun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) Perlembagaan bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

“Sesiapa yang membangkitkan isu membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” kata Azalina lagi.

Baca:

Mengamuk dituduh gila, lelaki lempar plastik air panas kena muka budak 4 tahun

Wanita romania 11 tahun di Malaysia, rupanya ada satu benda unik buat dia nak menetap terus

Dapat hasil lumayan hanya tawar buat surat tak hadir sekolah, harga serendah 20 sen