Realtime website trackingweb stats

Selepas Akhyar & Faisal, kini giliran Safiq Rahim pula ‘diserang’

Oleh ABDULLAH HAMID

Cermin kereta milik bekas ketua pasukan kebangsaan bola sepak, Safiq Rahim, telah dipecahkan oleh individu yang tidak dikenali berdekatan dengan pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, semalam.

Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas kejadian malang menimpa tonggak Selangor FC, Faisal Halim, yang disimbah asid di Kota Damansara.

Safiq berkongsi kejadian tersebut pada jam 10.05 malam melalui akaun media sosial Instagram.

Dalam muat naik itu, dia menyatakan bahawa dia telah membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya.

Selain itu, individu tersebut juga memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang telah pecah.

Selepas Akhyar & Faisal, kini giliran Safiq Rahim pula ‘diserang’

Berdasarkan laporan polis yang dipaparkan di Instagram, Safiq melaporkan bahawa pada masa itu dia sedang memandu ke Pantai Lido selepas mengambil barangnya di pusat latihan sekitar jam 10.05 malam.

“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden tersebut berlaku tiga hari selepas Faisal Halim diserang dengan asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di tempat tinggal mereka kira-kira seminggu yang lalu.

Sementara itu, pihak polis sedang menjalankan penyiasatan secara aktif untuk mengesan suspek yang terlibat dalam pecah masuk kenderaan bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, menyatakan bahawa penyiasatan sedang dijalankan dengan teliti dan pihak berkuasa sedang melakukan segala usaha untuk mengesan suspek tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam ini.

Baca:

6 tip mudah raih rezeki, nombor 4 paling mudah tapi payah orang nak buat

“Apa kau makan??” Ibu ralit buat konten tiba-tiba panik anak kunyah makanan si bulus

Beli bongkah dan letak di tempat redup, lelaki ini kongsi cara tanam cendawan tiram, jimat duit!