Realtime website trackingweb stats

Sebelum hantar anak ke asrama, ini 5 persiapan yang ibu bapa perlu buat kalau tak nak anak berdendam

Oleh AHMAD ISMAIL

Perubahan suasana kehidupan di rumah ke kehidupan berasrama adalah salah satu perubahan besar bagi seorang pelajar.

Bagi pelajar yang memasuki usia remaja, fasa ini merupakan tempoh yang kritikal dalam perkembangan sosial, emosi, dan psikologi mereka.

Oleh itu, keputusan untuk menghantar anak ke asrama boleh membawa pelbagai risiko yang perlu diberikan perhatian.

Seorang penceramah mengenai seksualiti, Akhi Fairuz, memberi amaran tentang risiko yang mungkin dihadapi oleh anak-anak berusia 13 tahun apabila mereka mula tinggal di asrama.

Berikut adalah lima perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk mempersiapkan anak mereka sebelum memulakan kehidupan di asrama:

Sebelum hantar anak ke asrama, ini 5 persiapan yang ibu bapa perlu buat kalau tak nak anak berdendam

1. Ajar Anak Berdikari

Pastikan anak-anak sudah mahir dalam kemahiran asas kehidupan seperti mengemas tempat tidur, membasuh baju, dan mencuci pinggan mangkuk. Kemahiran ini akan membantu mereka menguruskan diri dengan lebih baik semasa berada di asrama.

2. Fahamkan Anak Tentang Kepelbagaian Rakan

Terangkan kepada anak bahawa mereka akan bertemu dengan pelbagai jenis rakan di asrama, seperti yang pendiam, peramah, pendendam, atau pembuli.

Sesetengah daripada mereka mungkin sudah terdedah kepada perkara seperti rokok elektronik (vape). Persiapkan anak untuk menghadapi pelbagai jenis personaliti agar mereka tidak mengalami kejutan budaya.

3. Kawal Emosi Homesick

Jangan biarkan anak terlalu larut dalam perasaan homesick mereka sehingga menangis tanpa henti. Walaupun rasa sedih dan rindu adalah normal, penting untuk mengawal emosi tersebut agar tidak menjejaskan kesejahteraan anak secara keseluruhan.

4. Fahamkan Tentang Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat

Anak perlu memahami bahawa asrama boleh menjadi tempat yang berisiko terhadap gejala maksiat, termasuk golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT). Ajar mereka untuk tidak melayan orang yang cuba menjadikannya adik angkat, mengajak tidur bersama, atau melakukan gurauan yang melibatkan sentuhan pada bahagian peribadi.

5. Sentiasa Tanya Khabar dan Melawat

Kerap berhubung dengan anak dan lakukan lawatan ke asrama untuk memastikan mereka dalam keadaan baik. Usia 13 tahun adalah peringkat yang agak rapuh, di mana mereka baru mula akil baligh

Emosi dan perasaan mereka perlu dijaga dengan baik oleh ibu bapa untuk mengelakkan daripada terjebak dalam perkara yang tidak diingini.

Hantaran ini dikongsikan semula oleh Pendidik Ilmu Keibubapaan, Dr. Taufiq Razif, di halaman Facebook miliknya.

BACA: Cara jaga kereta habis ‘Warranty’ supaya tahan lama, tak selalu rosak