“Saya Ulang!”: Anwar Tunai Janji Umum Harga RON95 Turun RM1.99 Seliter

Oleh NOR SITI HAZLINDA

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2025 – Akhirnya, janji yang sering dilontarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramah pilihan raya sebelum ini menjadi kenyataan.

Dalam satu pengumuman yang dinanti-nantikan, beliau mengesahkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter apabila pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dimulakan.

Langkah ini, menurut Anwar, merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar memanfaatkan rakyat yang memerlukan, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter,” katanya dalam pengumuman khas bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal – terutama golongan belia dan pekerja ekonomi gig.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa meskipun kerajaan komited untuk melaksanakan penyasaran subsidi, rakyat biasa tidak akan terbeban. Perincian mengenai pelaksanaannya akan diumumkan sepenuhnya menjelang akhir September 2025.

Beliau turut mendedahkan bahawa subsidi untuk RON95 sahaja menelan hampir RM20 bilion setahun bagi tahun 2023 dan 2024. Walaupun harga minyak dunia menurun tahun ini, harga sebenar RON95 tanpa subsidi masih mencecah sekitar RM2.50 seliter, jauh lebih tinggi daripada harga subsidi sedia ada.

Dalam pendekatan baharu itu, warga asing pula tidak lagi akan menikmati harga subsidi, sebaliknya perlu membayar mengikut harga pasaran sebenar.

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan bahawa usaha menyasarkan subsidi ini penting bagi memastikan dana awam digunakan secara efisien dan tidak terus bocor kepada pihak yang tidak layak.

Dengan pengumuman ini, Anwar bukan sahaja mengotakan janji lamanya, malah menegaskan kesungguhan kerajaan dalam merangka dasar yang adil dan progresif, berpaksikan keperluan rakyat terbanyak.