PUTRAJAYA, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi yang tercetus susulan ucapan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki dalam program Malaysia Bermunajat 2025 baru-baru ini, yang kemudiannya dipolitikkan oleh sesetengah pihak.
Berucap dalam pertemuan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam, Anwar menyifatkan pertemuan dengan para ulama sebagai usaha penting untuk mendekatkan hubungan antara ulama dan umara, bukannya sebagai agenda politik.
“Syeikh Wazir bercakap sebab dia kenal saya sejak zaman ABIM. Waktu saya wakili Asia Pasifik dalam program di Riyadh melalui Pakistan, saya usulkan agar dibuat majlis khas untuk anak-anak Melayu Asia di sana. Syeikh Wazir ketika itu salah seorang anak murid di sana. Setiap dua tahun saya terima sumbangan USD5,000 dan diserahkan kepada persatuan mereka. dia ingat dan sebut perkara itu. Tak ada niat politik pun,” jelas beliau.
Anwar menegaskan bahawa kehadiran beliau dalam program munajat dan pertemuan dengan para ilmuan adalah sebahagian daripada usaha menyantuni institusi pondok serta mendengar pandangan mereka tentang peranan Islam dalam masyarakat moden.
“Ini pertemuan penting. Ulama dengar pandangan kita (pemimpin negara), dan kita juga menerima teguran serta usul mereka tentang bagaimana meningkatkan kesedaran dan kegiatan Islam di negara ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar institusi pondok dan madrasah diberi ruang untuk berkembang selari dengan perubahan zaman tanpa mengganggu asas kurikulum agama yang diwarisi.
“Negara kita sedang pesat membangun. Kita tak mahu terpisah dari tradisi ilmu Islam. Tapi kita juga perlu pastikan anak-anak pondok tidak tertinggal dalam arus teknologi. Saya seru supaya tok guru pondok dedahkan pelajar dengan komputer, AI, dan digitalisasi. Mereka terbuka, asalkan tidak ubah silibus turathnya,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau sedang berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan untuk meneliti bantuan bagi memperkasa kapasiti institusi pondok agar mampu bersaing di era digital.
Namun, beliau kesal apabila usaha mendekati ulama dan membantu institusi pondok telah dijadikan isu politik oleh pihak tertentu.
“Bila kita cuba bantu pondok, jadi isu. Bila kita baik dengan tok guru, pun jadi isu. Ini politik taksub, terlalu terikat dengan kepentingan kepartian hingga tak nampak kepentingan umum,” tegas beliau.
Anwar turut memaklumkan akan memenuhi jemputan Syeikh Wazir untuk menziarahi pondok beliau dalam masa terdekat.
“Hubungan ini bukan atas dasar politik. Kita mahu pastikan ilmu dan tradisi Islam terus berkembang dalam kerangka negara madani,” ujarnya mengakhiri.