Saman Tertunggak Tidak Ganggu Kelayakan Terima BUDI95 – Anthony Loke

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR: Saman trafik yang belum diselesaikan tidak akan menjejaskan kelayakan mana-mana pemandu untuk menerima subsidi petrol bawah program BUDI95, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut beliau, saman tertunggak dan mekanisme pemberian subsidi BUDI95 merupakan dua sistem berasingan yang tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain.

“Dua perkara ini tidak berkait secara langsung dan tidak menyebabkan kelayakan seseorang terbatal secara automatik,” katanya.

Anthony menjelaskan bahawa berdasarkan dasar sedia ada, individu yang ingin memohon atau terus menikmati manfaat BUDI95 mesti merupakan warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad serta mempunyai lesen memandu yang masih aktif.

Beliau turut menerangkan bahawa lesen memandu dianggap aktif sekiranya ia masih dalam tempoh sah atau telah tamat tempoh kurang daripada tiga tahun.

Walaupun demikian, Anthony menyarankan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang trafik dan menyelesaikan saman bagi memastikan keselamatan serta ketertiban di jalan raya sentiasa terpelihara.