KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam fasa akhir meneliti parameter dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) untuk pertimbangan lanjut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, sebanyak 18 sesi libat urus telah diadakan setakat ini, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Antara yang terlibat termasuk wakil parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKK Persekutuan (JPKKP), dewan perdagangan, persatuan perniagaan, NGO, ahli akademik dan wakil belia,” katanya.
Beliau menjelaskan, sesi libat urus di peringkat negeri akan diteruskan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada masyarakat akar umbi berhubung cadangan dasar RUU berkenaan.
Katanya lagi, antara isu utama yang dibangkitkan semasa sesi tersebut termasuk pelaksanaan pendanaan awam kepada parti politik, tahap ketelusan laporan kewangan parti, had sumbangan, serta kategori penderma yang dibenarkan dan dilarang.
Selain itu, Azalina memaklumkan satu kajian persepsi awam turut dijalankan bagi menilai pandangan rakyat terhadap keperluan mewujudkan undang-undang berkenaan.
“Pasukan penyelidik terdiri daripada gabungan ahli akademik dari beberapa universiti awam diketuai penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO).
“Kajian ini akan dijalankan selama empat bulan dan dijangka selesai pada Disember tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mencadangkan agar penggubalan Akta Pendanaan Politik disegerakan bagi memastikan ketelusan dana politik, khususnya ketika tempoh pilihan raya.
RUU berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi kerajaan bagi mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik serta memperkukuh integriti pentadbiran negara.