Kes mahkamah yang membabitkan isteri nusyuz sering menjadi perbualan hangat dan mendapat perhatian ramai.
Ramai yang memahami bahawa nusyuz berkaitan dengan isteri yang melanggar perintah suami,
tetapi tahukah anda bahawa suami juga boleh dikategorikan sebagai nusyuz?
Berikut adalah penjelasan mengenai pengertian nusyuz yang sebenarnya sangat meluas.
Ada informasi yang mungkin ramai tidak tahu!
Menurut kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, nusyuz bermaksud derhaka dan tidak taat. Isteri nusyuz merujuk kepada isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami sebagaimana yang diperintahkan oleh syarak.
Secara mudahnya, nusyuz berlaku apabila isteri atau suami mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap satu sama lain melalui perbuatan tertentu. Benar, bukan hanya isteri, tetapi suami juga boleh dijatuhkan dalam kategori nusyuz.
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW, jelas menunjukkan bahawa perbuatan nusyuz sangat ditegah oleh agama Islam. Hukum nusyuz adalah haram, dan perbuatan ini merupakan salah satu dosa besar.
Untuk pengetahuan anda, nusyuz terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
Nusyuz Isteri
Isteri dianggap nusyuz sekiranya derhaka atau ingkar terhadap suaminya, seperti keluar rumah tanpa izin suami, tidak mahu memenuhi hak suami terhadapnya, atau lain-lain perbuatan yang menjadi tanggungjawab isteri. Namun, sekiranya isteri melakukan perbuatan seperti membebel atau menghina suami dengan lisan, perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz, meskipun ia berdosa.
Nusyuz Suami
Kebanyakan masyarakat masih beranggapan bahawa nusyuz hanya berlaku oleh isteri terhadap suami, sedangkan perbuatan ini juga boleh terjadi melalui suami terhadap isteri. Seorang suami dikatakan nusyuz apabila mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami, seperti tidak menyediakan nafkah zahir dan batin, menyakiti dan mendera isteri, atau tidak berlaku adil dalam bergilir bagi suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri.
Nusyuz Suami Isteri
Jangan terkejut kerana perbuatan nusyuz oleh kedua-dua suami dan isteri dalam masa yang sama juga boleh berlaku. Keadaan ini dinamakan syiqaq. Situasi seperti ini boleh berlaku apabila kedua-dua suami dan isteri tidak mahu bertolak ansur dan saling bertoleransi. Oleh itu, masalah seperti ini sebaiknya diselesaikan dengan bantuan Jawatankuasa Pendamai atau campur tangan daripada Hakam yang dilantik oleh pihak mahkamah Syariah.
Secara amnya, suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isteri yang telah nusyuz. Misalnya, apabila isteri ingkar arahan suami untuk tinggal di rumah dan keluar tanpa keizinan suami, maka isteri telah melakukan nusyuz dan gugur haknya untuk menerima nafkah daripada suami.
Walau bagaimanapun, seorang isteri yang telah bertaubat dan kembali taat kepada suaminya tidak lagi dianggap melakukan nusyuz.
BACA: Antara punca suami isteri bergaduh sampai bercerai, no.2 tu jangan buat main!