Nak memasak sotong, kena tahu tekniknya. Kenapa?
Supaya sotong yang dimasak tak mengecut, pejal, dan tak berbau hanyir. Ini beberapa cara dan kaedah masak sotong yang boleh anda cuba di rumah.
Tambahan untuk anda, cara menyiang sotong yang paling senang.
Sotong, antara lauk kegemaran ramai.
Mungkin ada sesetengah orang yang tidak suka makan sotong kerana baunya yang agak hanyir.
Tetapi, kebanyakan daripada kita suka sangat makanan laut yang satu ini.
Terdapat pelbagai jenis sotong yang boleh ditemui di pasar. Contohnya, sotong jarum, sotong putih, sotong katak dan sotong kembang.
Semua jenis sotong ni ada cara masak yang unik atau resipi tersendiri.
Antara hidangan sotong yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu termasuk sambal sotong, sotong masak kunyit, ketupat sotong (masakan istimewa Pantai Timur), sotong masak hitam dan juga sotong masak kari.
Cara masak sotong supaya kekal pejal, tak kecut
Tidak kira sotong jenis apa yang anda gunakan, penting untuk tahu bagaimana mengurangkan bau yang hanyir dan membuat isi sotong tetap lembut ketika dimasak.
Antara petua atau cara masak sotong ialah:
1. Guna asam keping
Cara ini sangat mudah. Hanya perlukan beberapa keping asam keping atau asam gelugur untuk mengelakkan sotong mengecut.
Cara-caranya adalah seperti di bawah ini:
- Siang sotong terlebih dahulu.
- Buang isi perut dan tulang sotong, kemudian basuh bersih dengan air paip. Masukkan kepala sotong ke dalam badannya.
- Rebus sotong yang telah dibersihkan bersama asam keping selama 5 hingga 8 minit sahaja.
- Pastikan jangan rebus terlalu lama kerana sotong boleh menjadi liat.
- Selepas sotong masak, toskan airnya dan masak sotong mengikut citarasa anda.
- Elakkan menggunakan semula air sotong kerana ini boleh membuat lauk berbau kurang menyenangkan dan berasa masam.
2. Guna cuka
Cara memasak sotong ini mungkin tidak biasa dilakukan oleh kebanyakan orang.
Tetapi ia juga dikatakan berkesan bagi mengelakkan sotong daripada menjadi kecut ketika dimasak.
Apa yang diperlukan ialah sotong, 1 cawan air, dan juga 2 sudu besar cuka.
Anda boleh ikuti cara penyediaannya seperti di bawah ini:
- Cuci sotong seperti yang selalu dilakukan.
- Buang isi perut dan tulang, kemudian cuci dengan teliti.
- Masukkan sotong dalam satu bekas atau besen.
- Selepas itu, tuangkan air dan cuka ke dalam pinggan sotong.
- Gaul rata sehingga air dan cuka tersebar merata pada sotong. Biarkan selama 5 minit.
- Selepas itu, bilaskan sotong dan buang air sotong.
- Sotong siap untuk dimasak mengikut selera anda.
3. Guna garam
Kaedah ini sangat sesuai untuk membuatkan sotong yang dah lama menjadi lebih lembut dan pejal, sambil menghilangkan bau yang tidak menyenangkan.
Bahan yang diperlukan cukup mudah iaitu sotong dan juga garam.
Cara-caranya adalah:
- Ambil garam dan sotong yang dah dibersihkan.
- Taburkan garam ke atas sotong dan tambahkan sedikit air sahaja.
- Gaul sehingga sebati dan ramas-ramas sotong tersebut.
- Cuci sotong dan sedia untuk dimasak.
Cara siang sotong paling senang!
Bagi anda yang mahu membersihkan sotong dengan cara yang agak mudah, ikut sahaja langkah di bawah ini:
- Bilas semua sotong dengan air paip terlebih dahulu.
- Kemudian, tarik kepala sotong daripada badannya. Untuk teknik yang lebih baik, cuba pisahkan kepala sotong dari badannya terlebih dahulu sebelum menariknya. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua isi perut sotong dapat ditarik keluar bersama-sama dengan kepala.
- Setelah itu, tanggalkan isi perut yang melekat daripada kepala sotong. Dalam bahagian perut sotong ini, kita dapat lihat kantung dakwatnya. Jika anda ingin menyediakan hidangan sotong masak hitam, anda boleh menarik kantung dakwat ini dan gunakannya semasa memasak kemudian.
- Untuk bahagian badan, tarik keluar tulang sotong terlebih dahulu. Selepas itu, bilas bahagian dalam badannya sebelum dipotong.
- Potong sotong kecil mengikut selera anda. Pastikan untuk membersihkan kesemua bahagian sotong sebelum dimasak.
Rumusan
Memotong dan memasak sotong tidaklah terlalu susah kerana sotong merupakan salah satu makanan laut yang boleh dimasak dengan cepat dan mudah disiang.
Amalkan petua di atas ketika menyediakan sotong supaya kekal gebu, pejal, tidak liat dan tidak hanyir.
Baca:
‘Man of the Year’ diminta buat propaganda menentang Hamas, netizen bimbang keselamatan Motaz