Hari ini, apabila terlihat rekaan nombor plat berwarna putih, kebanyakan orang tahu ia dikhaskan untuk kenderaan elektrik (EV).
Namun, sejak beberapa hari lalu, ramai yang menyedari kehadiran kereta MPV
seperti Toyota Vellfire dan Alphard dengan nombor plat putih ini di atas jalan raya.
Gambar dan video yang tular di media sosial telah mencetuskan perbincangan hangat
Dengan ramai mempertikaikan keberanian individu VIP melanggar undang-undang jalan raya.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa golongan VIP menyalahgunakan pangkat mereka adalah tidak benar.
Menurut laporan daripada laman Carz.com, kereta-kereta MPV tersebut sebenarnya menggunakan nombor plat putih sebagai preview untuk memperkenalkan rekaan nombor plat baharu yang bakal diperkenalkan kelak, bukan hanya untuk kenderaan EV.
MPV ini juga digunakan khusus untuk membawa delegasi penting dari negara-negara ASEAN.
“Toyota Alphard dan Vellfire yang membawa menteri telah dipasang dengan nombor plat sementara dikenali sebagai JPJePlate yang mengandungi pengecam tersendiri.
“Contohnya, kod ‘ATM’ merujuk kepada ASEAN Transport Ministers, manakala ‘STOM’ bermaksud Senior Transport Officials,” menurut portal tersebut.
Antara 18 hingga 22 November lalu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan (STOM) ke-58 di Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini menghimpunkan pemimpin pengangkutan ASEAN, penggubal dasar, serta pakar industri untuk berbincang tentang usaha meningkatkan ketersambungan serantau dan global, selain memajukan kemakmuran ekonomi.
Difahamkan juga, Mesyuarat ATM dan STOM 2024 ini adalah langkah awal sebelum Malaysia mengambil peranan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.
BACA: Seram kena bayar cukai? Ini 3 sebab rakyat Malaysia tak perlu takut dengan LHDN