Rumah rosak gara-gara raptai LIMA’25, Ini respon Menteri Pertahanan

Oleh ABDULLAH HAMID

Dengan hanya tinggal beberapa hari sebelum tirai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) dibuka secara rasmi, latihan intensif kini giat dijalankan oleh para pegawai bagi memastikan pertunjukan bertaraf dunia itu berjalan lancar.

Namun, di sebalik debaran persiapan tersebut, ada penduduk sekitar lokasi pertunjukan mula melahirkan kebimbangan – malah ada yang mengalami kerosakan serius pada kediaman mereka.

Menurut laporan Kosmo!, dianggarkan lima buah rumah rosak dipercayai akibat gegaran daripada latihan udara. Antara kerosakan yang dialami termasuk tingkap pecah dan siling rumah retak atau berlubang.

Rumah rosak gara-gara raptai LIMA'25, Ini respon Menteri Pertahanan

Salah seorang penduduk terjejas berkata, ini bukan kali pertama rumahnya mengalami kerosakan akibat latihan LIMA. Tetapi kali ini, beliau membuat laporan polis pertama kerana buntu sama ada layak menuntut ganti rugi atau tidak.

Di media sosial, beberapa video tular memaparkan situasi menyedihkan – cermin rumah retak, siling terkopak, malah bunyi gegaran dikatakan cukup kuat hingga mengejutkan penduduk yang sedang berehat di dalam rumah.

Pegawai yang datang meninjau kerosakan memberi nasihat praktikal kepada penduduk: buka semua tingkap rumah dan kereta semasa latihan dan pertunjukan dijalankan – sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan udara dan risiko kerosakan.

Susulan rungutan itu, Kementerian Pertahanan tampil memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara menyeluruh. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan pihak kementerian memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami tidak akan memandang ringan perkara ini. Setiap laporan kerosakan akan diberi perhatian dan tindakan akan diambil berdasarkan siasatan,” ujarnya.

LIMA’25 sememangnya menjanjikan pertunjukan hebat yang membanggakan negara, namun harapan penduduk setempat juga tidak harus diketepikan – keselamatan dan kebajikan mereka perlu diutamakan seiring kemeriahan acara.

BACA JUGA :

Hadiah hari guru paling bernilai, bekas pelajar kumpul RM2 juta beli bas, surau baharu untuk sekolah

Jika saya jadi Perdana Menteri lagi..

BN tolak kerjasama dengan parti ‘musang berbulu ayam’