Roblox janji tingkat keselamatan melalui AI dan pemantauan manusia – Hannah Yeoh

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Platform permainan dalam talian popular, Roblox, memberi jaminan untuk memperkukuh langkah keselamatan pengguna melalui gabungan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia, susulan kebimbangan meningkat terhadap keselamatan kanak-kanak dalam dunia digital.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihak Roblox juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, khususnya dalam aspek perkongsian data serta pematuhan kepada peraturan tempatan.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya, Hannah berkata beliau menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh permainan dalam talian terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak, bukan sahaja sebagai seorang menteri tetapi juga sebagai seorang ibu.

“Dengan lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk lebih sejuta di Malaysia, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan. Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang positif,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi menjamin keselamatan pengguna bawah umur dalam permainan dan aplikasi media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu susulan kejadian tragis di Batu Pahat, Johor, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah selepas dipercayai ditikam oleh abangnya berusia sembilan tahun — dikaitkan dengan pengaruh permainan Roblox.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berang apabila permainan Roblox miliknya terganggu dan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas telefon bimbitnya rosak.