KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2025 – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan semalam bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun, tetapi satu manifestasi jelas terhadap komitmen Kerajaan MADANI dalam membina semula asas ekonomi negara secara mampan, inklusif dan berdaya saing.
Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan, RMK13 bertemakan Melakar Semula Pembangunan dirangka sejak Jun 2024 sebagai pelan menyeluruh yang meneliti cabaran domestik dan arus perubahan global.
Ia digubal dengan tekad memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selari dengan pertumbuhan ekonomi yang progresif.
“Fokus utama RMK13 adalah pada tiga teras penting – pertama, meningkatkan siling pendapatan negara; kedua, menaikkan lantai pendapatan rakyat; dan ketiga, memperkukuh tata kelola. Tiga tiang seri ini adalah kunci utama dalam menjayakan aspirasi negara untuk jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Datuk Seri Anwar ketika membentangkan pelan tersebut menjelaskan, pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion diperlukan untuk merealisasikan visi pembangunan negara dalam tempoh 2026 hingga 2030.
Daripada jumlah itu, RM430 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk pembangunan, termasuk RM227 bilion yang akan ditumpukan kepada sektor ekonomi sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan berada dalam lingkungan 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, dengan pemacunya adalah permintaan domestik – khususnya daripada penggunaan dan pelaburan swasta.
Seiring itu, pelaburan swasta sebenar dijangka berkembang pada kadar purata enam peratus setahun, manakala pelaburan awam pula dijangka mencatat pertumbuhan purata 3.6 peratus setahun.
RMK13 dilihat sebagai batu asas penting dalam perjalanan Malaysia ke arah negara maju berteraskan nilai MADANI yang menekankan keadilan sosial, tadbir urus cekap serta pembangunan yang seimbang antara ekonomi dan kesejahteraan rakyat.