BUKIT MERTAJAM: Prestasi ringgit yang kini tersenarai antara mata wang terbaik di Asia mencerminkan kejayaan dasar tatakelola negara, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pengukuhan nilai ringgit adalah hasil usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran yang cekap serta pendirian tegas membanteras rasuah dan penyelewengan.
“Ringgit menunjukkan prestasi yang sangat baik di peringkat Asia, bukan hanya jika dibandingkan dengan negara jiran tetapi keseluruhan rantau ini.
“Sebab itu kita mesti terus bekerja keras dan menjaga negara. Asasnya ialah tatakelola yang baik. Tidak boleh ada amalan mengambil kesempatan, menyalahgunakan wang atau mengaut komisen,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir, di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, ringgit berjaya melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat apabila mencatatkan nilai tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992. Kali terakhir mata wang negara berada pada paras hampir sama adalah pada 18 Jun 2018.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain amat penting dalam memastikan kestabilan negara, yang seterusnya menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keyakinan pelabur.
Beliau menegaskan, ketegasan kerajaan terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan, termasuk dalam urusan perolehan aset pertahanan, tidak seharusnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara secara keseluruhan.
Menyentuh soal kebajikan rakyat, Anwar berkata kerajaan telah meningkatkan peruntukan bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah keseluruhan mencecah RM15 bilion, selain pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam yang melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM18 bilion tahun ini.
Menurut beliau, penjimatan hasil penyasaran subsidi serta usaha membanteras rasuah dan ketirisan membolehkan kerajaan menambah peruntukan kepada rakyat, termasuk bantuan tunai dan peningkatan gaji sektor awam.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak memperkenalkan cukai baharu yang membebankan golongan berpendapatan rendah, sebaliknya mengekalkan subsidi RON95 dan memastikan kira-kira 85 peratus rakyat tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik.
Terdahulu, Anwar menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Zarif Hashim menyerahkan surat lantikan kepada tujuh kontraktor bumiputera bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara.
Pelantikan itu melibatkan sebahagian daripada 10 pakej kerja projek berkenaan, selaras dengan pelaksanaan Program Pembangunan Bumiputera oleh MRT Corp.